*Oleh: Ezafel Hakimi:)
Perkataan falsafah berasal daripada dua perkataan dalam bahasa Greek Kuno “philosophia”. Philos bermakna ‘cinta’ dan sophia bermakna ‘kebijaksanaan’, yang akhirnya membawa makna ‘cintakan kebijaksanaan’ (love of wisdom) atau ‘sahabat kepada kebijaksanaan’ (friend of wisdom). Perkataan sinonim falsafah ialah kepercayaan, ideologi, isme, konsep, sikap atau pegangan sesuatu kumpulan. Definisi falsafah secara amnya merupakan pengkajian umum yang merujuk kepada asas mengenai hakikat sesuatu realiti, kewujudan atau kejadian, ilmu pengetahuan, nilai, akal, minda dan bahasa.
Terdapat 4 korpus ilmu falsafah yang perlu diketahui umum. Korpus pertama dikenali sebagai tradisi, era atau aliran. Sebagai contohnya Buddhisme, Jainisme dan Pragmatisme. Korpus yang seterusnya adalah abad. Contoh korpus ini adalah kuno, pertengahan dan kontemporari. Selain itu, terdapat juga topik utama dalam korpus ilmu falsafah ini. Sesetengah masyarakat amat sinonim dengan topik utama ini seperti logik, metafizik, epistemologi dan estetika. Akhir sekali adalah korpus falsafah gunaan yang merangkumi falsafah politik, falsafah bahasa, falsafah dalam ilmu undang-undang dan banyak lagi pecahan yang boleh diamati dalam bidang ilmu ini.
Dalam kehidupan ini, manusia sering mencari jawapan kepada soalan yang nampaknya mudah tetapi sukar dijawab dengan penuh yakin. Contohnya;
Adakah kita benar-benar tahu apa yang kita tahu? Bagaimana cara yang terbaik harus kita menjalani kehidupan kita di dunia ini?
Falsafah mempunyai 3 elemen penting yang mampu menilai tahap pemikiran seseorang iaitu berdasarkan kaedah penelitian yang berteraskan rasionalisasi. Isu persoalan juga merupakan elemen penting dalam bidang ini sebagai contohnya, persoalan tentang apakah tujuan hidup kita? Sikap seseorang yang mendalami bidang ini akan sentiasa mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan mencari kebenaran dan jawapan kepada isu persoalan yang wujud. Oleh itu, falsafah sebenarnya adalah percubaan rasional untuk merumus, memahami dan menjawab persoalan dasar dan asas mengenai sesuatu realiti.
Anthony Quinton. 1995. The Ethics of Philosophical Practise. United Kingdom: Oxford University Press.
Jenny Teichmann & Katherine C. Evans. 1999. Philosophy: A Biginner’s Guide. United States: Blackwell Publishing