Tujuan Pendidikan Sekular British di Tanah Melayu

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Pendidikan sekular British di Tanah Melayu diperkasakan pada awal abad ke-20. Pengenalan sekolah vernakular Melayu dan sekolah aliran Inggeris oleh British memperlihatkan ia memberi cabaran kepada pendidikan Muslim di Tanah Melayu yang sinonim dengan sistem pondok dan madrasah. Kekangan yang dihadapi sekolah pondok dari segi menitikberatkan taraf hidup masyarakat berbanding agama, serta kegagalan madrasah melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam bidang pengetahuan, memberi ruang kepada masyarakat Muslim di Tanah Melayu untuk beralih kepada pendidikan sekular yang disediakan oleh British.

Photo by: flickr.com (ed)
Pendidikan British menerusi sekolah Melayu telah mencabar jati diri masyarakat Muslim. Ini kerana, pendidikan Islam seperti pengajian al-Quran dianggap oleh pegawai British sejak abad ke-19 seperti Stamford Raffles sebagai punca kemunduran masyarakat Melayu. Keadaaan ini menyebabkan pendidikan Islam didiskriminasi oleh British dalam sekolah Melayu. Contohnya, Richard Winstedt (Penolong Pengarah Pendidikan Melayu, 1916-1921) mencadangkan supaya kerajaan British menamatkan pengajaran al-Quran di sekolah Melayu. Pembelajaran al-Quran hanya dibenarkan dilakukan pada waktu petang yang dikenali sebagai “sekolah petang”. Malah tulian jawi yang sinonim dengan masyarakat Melayu digantikan dengan tulisan rumi dalam dasar pendidikan British.
Photo by: mistiesfiles.historiansecret.com (ed)
Pendidikan yang disediakan Britsh juga bertujuan menyekat keupayaan melahirkan tokoh intelektual sejati atau tokoh reformis dalam kalangan masyarakat Melayu. Pada tahun 1920 misalnya George Maxwell (Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu) menyatakan tujuan pendidikan British hanya terhad untuk memastikan “anak nelayan Melayu menjadi nelayan yang lebih baik dan anak petani Melayu menjadi petani yang lebih baik”. Penuntut di Sultan Idris Training College (SITC) yang diberi latihan untuk mengajar di sekolah-sekolah Melayu pula menjadi sasaran British menerapkan agenda tersebut. Ia dibuktikan menerusi lirik lagu harian nyanyian mereka iaitu “Kami ini anak tani, Tanam ubi hari-hari, Untuk makan petang hari.”
Photo by: sembangkuala.wordpress.com (ed)

Pendidikan Inggeris yang disediakan oleh British pula lebih cenderung untuk menjarakkan perhubungan sosial dalam kalangan masyarakat Melayu. Malay College of Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada tahun 1905 contohnya hanya memberikan ruang pendidikan kepada golongan berkemampuan seperti anak-anak bangsawan atau golongan Arab yang merupakan golongan terkaya dalam kalangan Muslim di Tanah Melayu. Kesannya, golongan yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Inggeris ini berpeluang mengisi jawatan pentadbiran kerajaan British berbanding lepasan penuntut sekolah aliran Melayu yang turut diperkenalkan oleh British. Keadaan ini menyebabkan sarjana seperti Abdul Fauzi Abdul Hamid dan Nazirah Lee berkongsi pandangan bahawa pendidikan British turut bertujuan melahirkan golongan yang taat kepada kolonial tersebut. Ini kerana, produk lepasan sekolah Inggeris cenderung memperoleh kelebihan seperti menyambung pengajian tinggi di Britain serta memiliki pertalian yang kuat dengan British dalam pentadbiran.


Ahmad Fauzi Abdul Hamid. 2004. The Impact of British Colonialism on Malaysian Islam: A Interpretive Account. Islam and the Modern Age. XXXV(2): 21-46.

Nazirah Lee. 2015. British dan Pendidikan Masyarakat Muslim di Malaya. Dlm. Bhakti Pendeta. Abdullah Zakaria Ghazali & Mohd Supian Sabtu (eds). Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.


Kongsikan Bersama