Nasionalisme Syria Menghapuskan Dominasi Mesir

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Syria merupakan wilayah di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyah yang penting pada abad ke-19. Lubnan yang juga merupakan sebahagian daripada wilayah Syria pada tempoh tersebut berkongsi pengalaman dari segi kebangkitan Nasionalisme Syria. Pada tahun 1831, Kedif Muhammad Ali Pasha dari Mesir bertindak menghantar tenteranya ke Syria bagi menawan wilayah tersebut. Tindakan tersebut menggambarkan cubaan perluasan kuasa Muhammad Ali Pasha untuk menafikan autoriti Sultan Turki Uthmaniyah ke atas Syria, sedangkan beliau juga merupakan pemerintah yang diamanahkan mewakili Sultan Turki bagi memerintah Mesir. Muhammad Ali Pasha telah mengarahkan anaknya iaitu Ibrahim Pasha untuk memerintah Syria.

Photo via: touregypt.net
Pada peringkat awal penguasaan Mesir terhadap Syria, masyarakat Syria tidak menunjukkan penentangan terhadap kuasa tersebut. Mereka berpandangan pendekatan penguasaan Mesir lebih bertoleransi berbanding pemerintah Turki Uthmaniyah. Golongan minoriti Kristian Syria contohnya menyenangi pemerintahan Mesir ke atas wilayah tersebut kerana dilihat memberi ruang yang luas kepada penduduk Kristian Syria mengecapi hak asasi dalam kehidupan. Ia dibuktikan menerusi pendekatan Muhamad Ali Pasha yang cenderung menekankan persamaan antara golongan Muslim dan Kristian di Syria melebihi apa yang dilakukan di Mesir.
Photo via: monovision.com

Penerimaan masyarakat Syria terhadap penguasaan Mesir berubah akhir tahun 1830-an. Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Ibrahim Pasha yang cuba melaksanakan cukai sewenang-wenangnya seperti pengenalan cukai tetap di Lubnan. Tindakan Ibrahim Pasha yang mengarahkan perlucutan senjata dalam kalangan penduduk tempatan juga mendorong perasaan tidak puas hati masyarakat Syria. Keadaan ini menyebabkan masyarakat Syria yang terdiri daripada pelbagai lapisan agama bangkit menentang pemerintahan Mesir. Pada tahun Mei 1840 misalnya, masyarakat Sunni, Syiah, Druz dan Kristian Syria menyatakan pendiran bersatu menentang penguasaan Mesir pimpinan Ibrahim Pahsa serta pemimpin a’yan (keturunan bangsawan dan pemimpin elit Syria ) iaitu Putera Amir Bashir yang berpihak kepada Mesir.

Photo via: dawlishchronicles.blogspot.com

Perkara penting diketengahkan dalam kesatuan nasionalisme masyarakat Syria ini ialah, mereka tidak berhasrat merdeka sepenuhnya meskipun menyedari terdapat wilayah empayar Turki Uthmaniyah seperti Greek yang merdeka lebih awal iaitu tahun 1830. Sebaliknya, tujuan pemerintahan Mesir dihapuskan adalah demi mengembalikan autoriti Sultan Turki di Istanbul mentadbir kembali wilayah tersebut. Dalam erti kata lain, penduduk Syria masih menzahirkan sokongan atau kesetiaan terhadap Sultan Turki selepas tahun 1840, meskipun beberapa polisi Sultan Turki di Syria mendapat reaksi berbeza dalam kalangan masyarakatnya.


Albert Hourani. 1983. Arabic Thought in The Liberal Age, 1798-1939. Cambridge: Cambridge University Press.

John A. Shoup. 2018. The History of Syria. California: Grennwood.


Kongsikan Bersama