*Oleh: Zamarul Hashim:)
Muzik atau nyanyian seperti nasyid merupakan salah satu hiburan yang sinonim dengan masyarakat Muslim. Tokoh ulama (sarjana Muslim) silam, memiliki perbezaan pandangan tentang hiburan yang mengandungi unsur muzik atau nyanyian. Contohnya, Imam Malik berpandangan hanya orang fasiq (tidak baik) terlibat dalam muzik dan nyanyian. Manakala Imam Nawawi menyatakan majoriti golongan ulama memutuskan bahawa penerimaan upah oleh penyanyi menerusi aktiviti nyanyiannya adalah haram di sisi Islam. Namun, terdapat juga pandangan ulama yang mengharuskan nyanyian seperti Ibnu Hazm dan Abu Bakar ibn al-Arabi. Mereka bersepakat bahawa riwayat hadith (cerita individu/sahabat nabi berdasarkan kenyataan atau perbuatan Nabi Muhammad) berhubung pengharaman nyanyian dalam Islam adalah batil (tidak benar).
Sehingga awal abad ke-21 sebagaimana fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia menerusi Bayan Linnas (keterangan permasalahan masyarakat) tahun 2019, hukum hiburan dalam Islam seperti nyanyian dan muzik konsisten pada tahap “harus” (dengan memastikan etika murni yang dianjurkan Islam). Persoalannya mengapa golongan agamawan tidak cenderung memutuskan bahawa nyanyian itu hukumnya “sangat dibolehkan” dalam Islam? Jawapannya adalah untuk memelihara masyarakat dari terlibat dengan gejala sosial negatif sebagaimana anjuran lagu atau nyanyian dari Barat. Contohnya, hasil kajian Fakulti Perubatan Universiti Pittsburg pada tahun 2005 hingga 2007 menunjukkan bahawa 80 peratus lagu rap menggalakkan penggunaan dadah dan arak. Perkara tersebut sangat membimbangkan kerana lagu rap dari Barat turut mendapat liputan meluas termasuk Malaysia pada tempoh berkenaan. Adakah meminum arak atau alkohol merupakan satu kegiatan atau budaya negatif yang perlu dibimbangi masyarakat? Jawapan adalah Ya. Ini kerana situasi di Malaysia kini tular berkenaan dengan kes pemandu mabuk dibawah pengaruh alkohol atau arak sehingga menyebabkan kecederaan serta kematian orang awam dan anggota keselamatan. Kesimpulannya, hiburan menurut sebahagian golongan agamawan di Malaysia diterima dalam Islam tetapi keperluannya tidak boleh melampaui batasan pelanggaran hak kemanusiaan berteraskan gejala sosial negatif.
“Bayan Linnas Siri Ke-197: Islam Dan Muzik”. 14 Julai 2019. Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3570-bayan-linnas-siri-ke-197-islam-dan-muzik (dicapai pada 7 Jun 2020).
Pahrol Mohamad Juoi. “Penghibur yang Tidak Terhibur”. Gentar Rasa. 15 Disember 2019. https://gentarasa.wordpress.com/2019/12/15/penghibur-yang-tidak-terhibur/?fbclid=IwAR3VqpUmNtWZT1d2-6Epvtp301UMoca4sEV3GaCvpPvi_CXQU6heufALiGk (dicapai pada 7 Jun 2020).
Kahn, J.S. 2003. “Islam, Modernity,and the Popular in Malaysia”. Dlm. Malaysia: Islam, Society and Politics. Virgina Hooker & Noraini Othman (eds). Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. hlm 147-163.