Aliran Totalitarian; Memihak kepada Siapa?

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Totalitarian atau totalitarianisme merupakan satu aliran atau fahaman yang merujuk kepada kecenderungan pemerintahan yang kejam dan ekstrem. Pemerintahan ini membenarkan kewujudan satu sahaja parti politik untuk menguasai dan memerintah sesebuah negara secara mutlak. Aliran ini juga menegaskan bahawa hanya negara sahaja yang berhak menentukan semua perkara terhadap rakyatnya. Hal ini turut merangkumi penguasaan terhadap sikap, akhlak dan kepercayaan berdasarkan aturan pemerintah.

Photo via: garvan.co
Sistem ini dilihat lebih ketara berbanding sistem diktator atau negara polis dan ianya turut melibatkan unsur propaganda oleh pemimpin dalam tempoh yang berpanjangan dan berkemungkinan tiada penghujung. Sistem ini amat kejam dan berat bagi sesebuah negara yang mengamalkannya. Hal ini kerana, rakyat di negara tersebut terpaksa patuh dengan segala undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan. Kadangkala, pihak kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik seperti membunuh para intelek supaya tiada seorang rakyat yang menentang kerajaan yang memerintah secara mutlak ini. Ahli falsafah Itali yang amat terkenal dengan teori fasisme iaitu Giovanni Gentile merupakan individu yang menggunakan istilah totalitarian bagi merujuk kepada struktur pentadbiran dan matlamat dalam mencapai sebuah negara yang baharu. Negara baharu ini akan mewakili sebuah negara bangsa secara dominan yang menjadi contoh serta memberi bimbingan menyeluruh ke arah matlamat nasional. Giovanni Gentile telah menggambarkan totalitarianisme sebagai sebuah masyarakat atau kumpulan di mana ideologi negara mempunyai pengaruh ke atas kuasa malahan keatas rakyatnya juga.
Photo via: theww2crew.weebly.com

Perkataan totalitarian kerap digunakan oleh seorang pemimpin bagi rejimnya di Itali iaitu Benito Mussolini. Menurutnya, sistem ini mempolitikkan segala yang spiritual dan kemanusiaan. Semasa Perang Dunia Kedua, golongan ahli falsafah mempopularkan konsep ini untuk menunjukkan persamaan di antara Nazisme dan Stalinisme sebagai teori sivik. Kebanyakan rejim fasis dan komunis telah dilabel sebagai totalitarian walaupun sebahagian besar daripadanya seperti rejim Franci di Sepanyol, dan Mussolini di Itali sebelum Perang Dunia Kedua dan juga rejim komunis seperti di Yugoslavia di bawah pimpinan Tito dan China di bawah Deng Xiaoping, adalah lebih bersifat autoritarian berbanding totalitarian. Namun begitu terdapat beberapa kerajaan terdahulu yang boleh dianggap sebagai totalitarian. Antaranya ialah kerajaan di Kesatuan Soviet dan Jerman pimpinan Adolf Hitler.

Photo via: ilfattaquotidiano.it

George Orwell merupakan antara tokoh sosialis yang menolak aliran totalitarianisme. Ia dikesan sejak penglibatannya sebagai anggota polis dalam Indian Imperial Police di Burma tahun 1920-an dan penghasilan karya penyelidikan beliau berhubung masalah kemiskinan sekitar tahun 1930-an seperti Failures in Paris and London (1933) serta Road to Wigan Mine (1937). Hasil karya Orwell menerusi Animal Farm (1945), Nineteen Eighty-Four/1984 (1949), Notes on Nationalism (1945) turut memaparkan tema yang sama seperti sebelumnya bagi menitikberatkan soal kehidupan masyarakat yang dilanda kesempitan hidup pada zaman kemelesetan ekonomi. Dalam karyanya, Orwell menentang dengan tegas sistem pemerintahan bersifat imperialisme dan totalitarianisme. Hal ini kerana menurutnya totalitarianisme tidak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat tetapi hanya memihak kepada kecenderungan pemerintah yang menindas rakyat.


Ahmad Suhelmi. 2001. Pemikiran Politik Barat. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

George Ritzer. 1996. Classical Sociology Theory. New York: Hill Companies.

H Rene Albrecht Carrie. 1962. Europe Since 1815. New York: Harper and Row Publishers.


Kongsikan Bersama