Pencerahan kekeliruan di atas pada hakikatnya pernah (atau kerap) diutarakan sendiri oleh pelaku atau nasionalis terlibat, golongan sejarawan dan sarjana sosiologi menerusi karya penulisan atau forum-forum anjuran mereka. Namun, apabila buku teks Sejarah baharu diperkenalkan (buku teks tingkatan empat), masyarakat awam bertindak responsif di media sosial dengan segelintir mengemukakan perspektif bersifat moral judgement atau berunsur emosi demi kepentingan politik atau etnik. Justeru, artikel ini menjawab kekeliruan tersebut dengan menghimpun pandangan terkini sarjana-sarjana tempatan yang pakar dalam bidang sejarah atau terlibat dalam penentuan polisi pendidikan sejarah di Malaysia.
Bagi persoalan atau kekeliruan pertama, sarjana seperti Nazarudin Zainun menonjolkan bahawa golongan kiri Melayu adalah pejuang sebenar kemerdekaan berteraskan kebangsaan Melayu. Analisis tersebut diperkukuhkan beliau dengan mengutarakan pandangan dari sejarawan aliran pasca–revisionis berhubung Darurat 1948 seperti Azmi Ariffin dan Abdul Rahman Ismail. Aliran tersebut menjelaskan bahawa Darurat yang diisytiharkan British pada Jun 1948 satu tipu muslihat British semata-mata untuk menghalalkan tindakan kolonial tersebut menghapuskan golongan nasionalis kiri Melayu. Justeru menurut Nazarudin, pandangan yang mengaitkan semua gerakan kiri sebagai komunis sebagaimana yang ditanamkan oleh pendedahan sarjana yang mewakili pemikiran kolonial seperti Furedi merupakan satu kekeliruan yang besar. Ini kerana sifat perjuangan golongan kiri Melayu menurut beliau tidak berkait dengan warisan komunis, sebaliknya golongan kiri Melayu berjuang demi kemerdekaan sebenar dalam kerangka kebangsaan Melayu (berasaskan Perlembagaan Rakyat: Tanah Air Melayu; Bangsa Melayu, Bahasa Melayu, Pengiktirafan terhadap Raja Melayu) yang turut dipersetujui oleh pertubuhan golongan kiri bukan Melayu seperti All Malayan Council of Joint Action (AMCJA).
Kekeliruan masyarakat awam berhubung status PKM sebagai pejuang kemerdekaan turut dirungkai sarjana tempatan. PKM bukan pejuang kemerdekaan. Aliran neo-ortodoks (turut mewakili pemikiran kolonial) oleh Stockwell yang menyatakan bahawa gerakan komunis adalah gerakan nasionalis sebenar disangkal oleh golongan sejarawan tempatan. Menurut Nazarudin, matlamat sebenar PKM bukan berjuang mencapai kemerdekaan, sebaliknya menjadikan Tanah Melayu sebagai satelit komunis China atau Soviet. Malah, buku teks Sejarah yang baharu menurut sarjana seperti Sahul Hamid tidak memuatkan sanjungan terhadap PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Dalam erti kata lain, golongan sejarawan tempatan yang terlibat sebagai pakar rujuk buku teks Sejarah yang baharu memiliki pandangan sama bahawa PKM bukan perjuang kemerdekaan. Jawatankuasa Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah yang terlibat menurut Sahul Hamid adalah golongan sarjana sejarah yang berwibawa seperti Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazalie, Prof. Kamaruzaman Yusoff dan Dr Ho Hui Ling (sarjana yang sinonim dengan pendedahan kajian berhubung keganasan komunis).
Bagi kekeliruan ketiga adakah DAP berideologi komunis atau sama dengan komunis, jawapannya adalah tidak. Ini diperkuatkan oleh hujah Abd Malek Hanafiah menerusi pengalamannya sebagai panel sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia bersama sejarawan terkemuka iaitu mendiang Khoo Kay Kim. Menurut beliau, parti asal DAP ialah People’s Action Party (PAP) of Malaysia. Dalam erti kata lain ia adalah serpihan daripada PAP yang lebih awal ditubuhkan di Singapura pimpinan Lee Kuan Yew pada tahun 1954. PAP pula dalam buku-buku teks sejarah sebelum ini seringkali dipaparkan sebagai anti kepada komunis serta tidak sehaluan dengan Barisan Sosialis khususnya berhubung pembentukan Malaysia. Menurut Abd Malek Hanafiah, China membenci DAP berikutan DAP adalah kembar kepada PAP. Justeru, penularan pandangan yang mengaitkan DAP dengan PKM seharusnya dihapuskan dalam pemikiran masyarakat awam. Masyarakat yang mengaitkan hubungan tersebut berkemungkinan bimbang unsur-unsur mengagungkan PKM dimuatkan dalam buku teks. Sedangkan buku teks langsung tidak menyentuh sanjungan terhadap PKM atau peranan DAP dalam nasionalisme Tanah Melayu berikutan DAP hanya ditubuhkan tahun 1966.