Kepelbagaian Reaksi Terhadap Rukun Negara 1970-an

Kongsikan Bersama

*Oleh: Mohd Fauzan Ramli:)

Tahun 1970-an memperlihatkan segelintir ahli politik mengamalkan sikap dingin terhadap pelaksanaan dasar Rukun Negara. Contohnya, Utusan Zaman tahun 1974 melaporkan terdapat seorang ahli politik yang bertindak melempar risalah Rukun Negara. Di samping itu, pada awal tahun 1970-an juga Setiausaha Agung DAP mengutarakan pandangannya bahawa Rukun Negara perlu dibahaskan bersama dalam kalangan pihak kerajaan, parti-parti politik dan golongan rakyat. Ini kerana, beliau berpendapat prinsip Rukun Negara perlu meliputi tuntutan rakyat berbilang bangsa serta menggambarkan amalan sistem ekonomi yang seimbang.

Photo via: ahlulbaitindonesia.or.id
Golongan akademik turut memberi ulasan terhadap pelaksanaan dasar Rukun Negara. Contohnya pada tahun 1981, sarjana seperti Chandra Muzaffar menyatakan bahawa Pancasila di Indonesia diperdebatkan secara meluas di Indonesia berbanding Rukun Negara di Malaysia. Keadaan ini menjelaskan bahawa segelintir masyarakat di Malaysia memiliki pendirian berbeza berhubung pelaksanaan dasar rukun negara yang diperkenalkan pada tahun 1970. Sungguhpun demikian, Rukun Negara dilihat sarjana yang lain sebagai asas yang perlu diterima baik oleh semua pihak. Sarjana terkenal seperti Syed Hussein al-Attas berpandangan Rukun Negara pada hakikatnya adalah hasil persetujuan yang disepakati oleh semua pihak menerusi Majlis Perundingan Negara. Ini kerana menurut beliau Rukun Negara (sama ada prinsip atau objektifnya) dilancarkan dengan mengambil kira hasrat majoriti masyarakat di Malaysia tahun 1970. Di Malaysia, Rukun Negara sinonim dengan bacaan ikrar prinsipnya dalam upacara rasmi khususnya di perhimpunan sekolah dan universiti untuk mengukuhkan perpaduan yang melambangkan identiti bagi seluruh warganya.
Photo via: jejakmelangkah7.wordpress.com


“Risalah Rukunegara”. Utusan Zaman. 22 September 1974.

“Rukunegara Perlu Dibahas. Berita Harian. 16 Oktober 1970.

“Menyokong Rukunegara”. Berita Harian. 12 Oktober 1970.

Chandra Muzaffar. 1981. University Education and Intellectual. Pulau Pinang: Ganesh Printing.


Kongsikan Bersama