Adam: Manusia Pertama Wujud, Tahun 8000-12000 Dahulu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jariah Sukimin:)

Manusia pertama atau homo sapiens wujud pada tahun 8000-12000 tahun dahulu. Manusia pertama yang dimaksudkan adalah Nabi Adam sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran. Pentarikhan berhubung kelahiran Nabi Adam tersebut adalah selaras dengan pandangan sarjana tempatan yang terdiri dari tokoh ilmuwan terkenal seperti Syed Naquib al-Attas dan pakar arkeologi seperti Yunus Sauman.

Photo via: perwadahusim.blogspot.com
Kedua-dua sarjana berpendapat bahawa tempoh kewujudan manusia atau Nabi Adam boleh dilihat menerusi pembuktian arkeologi secara perbandingan menerusi maklumat yang mirip terkandung dalam tafsiran al-Quran. Syed Naquib al-Attas meyakini bahawa kewujudan Nabi Adam adalah sekitar 7000 hingga 8000 tahun berasaskan metodologi penelitian terhadap tempoh pemerintahan seseorang raja atau pemerintah kerajaan silam dengan merujuk kepada penemuan arkeologi dan al-Quran. Contohnya Al-Attas turut mengutarakan pandangan Nabi Musa hidup sekirar 1527 sebelum masihi selaras dengan zaman pemerintahan Firaun Thutmose I.
Photo via: qiroatipusat.or.id
Menurut Yunus Sauman pula, pandangan terkini beliau yang menyatakan bahawa manusia pertama atau Nabi Adam wujud sekitar 10 ribu hingga 12 ribu tahun dahulu tertakluk kepada pembuktian arkeologi secara perbandingan. Meskipun al-Quran tidak menjelaskan secara khusus tarikh kelahiran Nabi Adam, menurut Yunus Sauman tafsiran dalam al-Quran dapat memberi gambaran kepada kewujudan Nabi Adam. Dalam erti kata lain, maklumat terkandung dalam al-Quran atau tafsiran terhadapnya dapat memberi ruang terbuka kepada masyarakat atau pengkaji menilai tarikh kelahiran Nabi Adam. Menurut beliau, kisah dua anak Nabi Adam yang mempersembahkan hasil ternakan dan tanaman kepada tuhan sepertimana dalam al-Quran memberi gambaran atau hipotesis bahawa keluarga Nabi Adam wujud sekitar 10800 tahun (zaman neolitik) atau 12000 (pra neolitik) dahulu.
Photo via: visitpalestine.ps
Di dalam al-Quran turut memuatkan kisah berhubung maklumat yang disampaikan malaikat bahawa sebelum Adam diciptakan tuhan, telah wujud makhluk yang saling menumpahkan darah. Peristiwa tersebut selaras dengan hipotesis dari segi arkeologi. Menurut Yunus Sauman penemuan arkeologi khususnya di Afrika sekitar 20 hingga 30 ribu tahun dahulu menggambarkan hipotesis bahawa wujud makhluk atau “manusia mirip Adam” yang saling berebut kawasan serta bertelagah untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal. Dalam erti kata lain “manusia mirip Adam” berkemungkinan tidak memiliki keupayaan sebagaimana manusia sempurna iaitu Nabi Adam yang memiliki akal dan boleh berbicara.
Ringkasnya kedua-dua sarjana di atas menyarankan ilmu bahawa teori evolusi kemunculan manusia yang dibawa oleh Barat tidak seharusnya dijadikan pegangan mutlak oleh masyarakat. Ini kerana pembuktian secara empirikal menerusi DNA yang menyatakan manusia moden atau homo sapiens (mempunyai akal dan boleh berbicara) wujud 200 ribu tahun dahulu juga memiliki kelemahan ekoran pengkaedahan saintifik turut bersifat kompleks. Sebaliknya, maklumat kewujudan manusia yang terdapat dalam al-Quran juga boleh dijadikan hujah bagi menentukan pentarikhan kemunculan manusia. Ini kerana al-Quran mengangkat darjat manusia sebagai makhluk atau insan yang sempurna berbanding teori evolusi Barat yang mengelompokkan manusia sebagai antropoid (satu kumpulan yang turut dikongsi oleh monyet dan ape)

Nazmi. “Usia Manusia 7000-8000 Tahun”. 24 Disember 2015. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/12/107926/umur-manusia-7000-8000-tahun (Diakses pada 26 Jun 2020).

Yunus Sauman. “Manusia Terawal Daripada Sudut Pandang Arkeologi”. Ilmu Jalanan UPSI. 21 Februari 2020. https://www.facebook.com/watch/live/?v=675901763153527&ref=watch_permalink (Diakses pada 26 Jun 2020).


Kongsikan Bersama