Monopoli, Perampasan Sah Pada Perspektif Pemerintah Melayu Tradisional?

Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Monopoli, perampasan dan pelanunan pada masa kini dilihat sebagai satu tindakan penindasan dalam kegiatan ekonomi. Pandangan ini juga turut mewakili pendirian golongan penjajah Barat atau masyarakat Eropah pada zaman pemerintahan Melayu tradisional. Penulis-penulis Eropah berdasarkan kajian yang dibuat oleh Milner memperlihatkan kecenderungan sama dalam mengaitkan monopoli sebagai satu tindakan lazim oleh pemerintah atau raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan peperangan di wilayah-wilayah seperti Sumatera Timur.

Sungguhpun demikian, Milner menegaskan bahawa pemahaman Eropah terhadap kegiatan ekonomi raja-raja atau pemerintah Melayu tradisional tidak selaras dengan perspektif sebenar pemerintah Melayu ketika tempoh tersebut. Bagi golongan raja atau pemerintah Melayu tradisional, monopoli, perampasan atau pelanunan adalah sah. Ia berbeza dengan dakwaan pihak kolonial dan penulis Eropah yang menjustifikasikan tindakan-tindakan tersebut sebagai negatif secara keseluruhannya. Namun, pihak Eropah sendiri terperangkap dalam kekeliruan justifikasi mereka sendiri. Contohnya, apabila sekumpulan Melayu melakukan kegiatan penyeludupan lada tanpa kebenaran Sultan, ia dianggap penulis Eropah sebagai satu kegiatan pelanunan. Namun, apabila golongan pedagang Eropah melakukan tindakan sama ia dianggap mereka sebagai tindakan yang sah. Cabaran daripada kegiatan perdagangan Eropah ini seterusnya mendorong pemerintah Melayu tradisional melancarkan amalan monopoli diraja sebgaimana diutarakan oleh sarjana seperti Wells.
Photo via: 7708.grandpier.my
Berdasarkan cerapan Milner terhadap manuskrip kesusasteraan Melayu, surat-menyurat dan teks-teks pribumi, terdapat beberapa tujuan sebenar monopoli dan perampasan dilakukan oleh golongan raja dan pemerintah Melayu. Tujuan pertama adalah untuk membiayai perbelanjaan mereka bagi sesuatu keperluan atau projek dan memperoleh sedikit keuntungan. Contohnya, pada abad ke-19 Bendahara Wan Ahmad dan pengikutnya melancarkan ekspedisi menghantar perahu-perahu bagi mendapatkan harta rampasan bertujuan membiayai perang Saudara Pahang. Manakala, terdapat pemerintah Melayu seperti di Siak pada abad ke-18 memaparkan kerendahan dirinya dengan menjelaskan bahawa beliau berhutang kepada Sultan Palembang. Perasaan rendah diri tersebut dizahirkan pemerintah Siak selepas melakukan rampasan terhadap bot-bot Palembang. Justeru Milner berpandangan tiada unsur ketamakan dalam dasar ekonomi golongan raja, kerana monopoli bukan budaya lazim pemerintah Melayu seperti didakwa Eropah dan hanya dilakukan atas keperluan semasa. Pandangan sama turut dikemukakan Wells yang menyatakan monopoli tidak dijalankan dalam keadaan masyarakat tradisional tidak memiliki keupayaan untuk menampung keperluan hidup.
Monopoli dianggap sah pada perspektif pemerintah Melayu atau raja demi menyekat pengaruh golongan-golongan bangsawan yang bersaing dengannya dalam kedudukan politik. Dalam erti kata lain, monopoli dilakukan untuk mencapai tujuan politik pemerintah daripada diancam oleh orang-orang besar Melayu yang cuba mengaut kekayaan. Ini kerana kehebatan raja atau orang Melayu diukur menerusi jumlah pengikut yang ramai. Justeru, perampasan atau monopoli dilakukan raja untuk menghadapi pesaing-pesaingnya yang berpotensi mengurangkan kesetiaan rakyat kepadanya. Terdapat beberapa individu atau rakyat biasa yang memperlihatkan kecenderungan menyaingi raja serta bangsawan dari segi kedudukan politik pada zaman pemerintahan masyarakat Melayu tradisional. Contohnya, ada awal abad ke-20 Lebai Saris yang datang dari Patani ke Terengganu memiliki kekayaan dan pengaruh luas. Beliau diusung oleh pengikutnya menggunakan tandu dan bertingkah seperti seorang sultan. Manakala seorang lelaki bernama Mat Rasad di Pahang juga adalah seorang individu biasa tetapi memiliki kekayaan luar biasa. Beliau memiliki pengikut yang ramai dalam kalangan masyarakat bawahan sehingga bersikap angkuh dan menunjuk-nunjuk.
Photo via: nelsonlambert.blogspot.com
Penetapan tujuan raja atau pemerintah Melayu terhadap dasar monopoli tersebut memberi kesan terhadap keputusan rakyat biasa untuk memilih meneruskan kelangsungan kehidupan “sekadar cukup” dalam kegiatan ekonomi. Namun Milner menyatakan bahwa tiada bukti jelas menunjukkan raja ingin mengancam kesejahteraan rakyatnya secara total. Raja-raja Melayu contohnya dibuktikan beliau memiliki hasrat untuk memastikan rakyatnya memiliki pakaian yang baik dan murah; meluahkan keinginan melindungi rakyat; serta berhasrat untuk memastikan rakyat berkeupayaan memperoleh makanan. Dalam erti kata lain, tujuan kedua monopoli raja (iaitu menyekat golongan-golongan rakyat lain yang cuba berkuasa berdasarkan kekayaan yang dimiliki) memperlihatkan raja atau pemerintah Melayu ingin memastikan kerajaannya hanya dipusatkan kepada seorang individu dalam pentadbiran kerajaan bukan ramai individu kaya. Ia ekoran tindakan ini secara tidak langsung akan menjejaskan kedudukan pemerintah dan rakyat lain secara keseluruhannya.


Milner, A. 2016. (ed). Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial. (Terj. Ruhan Shahrir et. al) Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.

Jeyamalar Kathirithamby-Wells. 1993. Restraints on the Development of Merchant Capitalism in Southeast Asia before c. 1800. Anthony Reid (ed). Dlm. Southeast Asia in the Early Modern Era: Trade, Power and Belief. New York: Cornell University Press. hlm 123-148.


Kongsikan Bersama