Hakikat Jumaat Musim Covid-19

  • Post category:Santai
Kongsikan Bersama

*Oleh: Mohd Fauzan Ramli:)

Setiap negeri di Malaysia memiliki bidang kuasa tersendiri berhubung perlaksanaan kegiatan keagamaan seperti penentuan amalan ibadah di masijid-masjid. Kerajaan negeri Selangor di bawah Majlis Agama Islamnya telah memutuskan pada 3 Julai 2020 untuk membuka masjid kepada jemaah bagi menunaikan solat Jumaat.

Jujur saya katakan, wabak covid-19 meruntun jiwa kepada masyarakat Muslim yang rindu untuk menunaikan solat Jumaat. Sebabnya ialah, umum mengetahui kita perlu melazimi budaya baharu di masjid seperti mengamalkan penjarakan sosial dan memakai topeng muka. Kedua, kapasiti jemaah pula terhad berbanding dahulu. Kalau dahulu jemaah melimpah sehingga ke mozek tempat wuduk, kini rata-rata masjid berkapasiti besar hanya dibenarkan untuk memuatkan lebih kurang 500 jemaah sahaja, masjid negeri pula 1000 jemaah.
Kembara saya bersama rakan di Shah Alam untuk menjadi makmum solat jumaat pertama 3 Julai bermula apabila kami dengan riang gembira menuju ke Masjid Raja Uda, Shah Alam (sebelum PKP masjid ini menjadi pilihan kami untuk solat Jumaat kerana berdekatan dengan tempat kerja). Sebaik sampai, kami melihat anggota keselamatan sudah bersedia lebih kurang 100 meter daripada pagar masjid untuk menyaring kemasukan jemaah. Hanya jemaah telah mendaftar online sahaja dibenarkan memasuki masjid. Beberapa golongan pekerja di bawah pokok mula untuk berkongsi link pendaftaran. Tapi, pendaftaran tidak berjaya kerana jemaah telah mencukupi. Jadi, kami usaha untuk merempit ke Masjid Negeri.
Pukul 1 kami lihat kelibat Masjid Negeri yang tersergam indah. Tapi lebih kurang 700 meter sebelum sampai ke masjid, jalan-jalan sesak dengan kereta-kereta yang ingin menuju masjid berkenaan. Suasana sesaknya ibarat hari esok adalah sambutan hari raya. Pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula bersedia di pintu laluan masuk khas jemaah. Seperti masjid sebelumnya, hanya jemaah yang telah mendaftar dan menunjukkan bukti lulus sebagai jemaah Jumaat menerusi telefon bimbit dibenarkan masuk. Ada juga jemaah dengan bangga menjulang tinggi surat bukti kelulusan dan ditunjukkan kepada pegawai disebabkan perasaan seronoknya terpilih menjadi jemaah. Mat-mat motor hanya meleret mata termenung dengan pelbagai gelagat tersebut. Maklumlah kami tidak berhasil untuk memasuki masjid. Saya dan rakan sekadar tersenyum, bukan rezeki kami minggu ini. Saya perasan seorang jurukamera portal berita pun sedang mengambil gambar kami. Mungkin tajuknya begini “Inilah Wajah-wajah Sugul yang Tak Dapat Masuk Masjid Minggu Ini”.
tahutuai.com
Pengajarannya ialah, kita mesti usaha dan cakna dengan makluman pendaftaran berdasarkan link yang diumumkan oleh setiap masjid. Jangan pula kita menjadi Pak Pandir tamak untuk daftar semua masjid yang ada, tapi ke masjid hanya satu sahaja walaupun keputusan lulus 100 buah masjid. Jadi, jemaah lain tiada peluang untuk tunaikan Jumaat disebabkan kita sendiri. Jangan sedih, tak dapat tunaikan Jumaat di masjid walaupun kita dah usaha, gantikan sahaja dengan zohor di rumah. Saya yakin tuhan terima amalan kita selepas kita berusaha dalam tempoh musibah Covid-19.

Kongsikan Bersama