Pertubuhan Nasionalisme di Indonesia 1900-1940

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Bermula awal abad ke-20 sehingga sebelum pendudukan Jepun di Indonesia, kesedaran nasionalisme kian berkembang dalam kalangan penduduk tempatan. Penubuhan parti atau pertubuhan politik bercorak nasionalisme pada tempoh tersebut didorong oleh tuntutan yang pelbagai seperti menuntut kedudukan ekonomi yang baik, mempertahankan kedudukan Islam serta membebaskan Indonesia daripada cengkaman penjajahan Belanda.

Photo via: sumbersejarah1.blogspot.com
Sarekat Islam merupakan antara pertubuhan nasionalisme yang penting di Indonesia awal abad ke -20. Pada peringkat awal, tujuan penubuhannya adalah demi memelihara kepentingan ekonomi batik dalam kalangan pedagang tempatan beragama Islam. Ia selaras dengan nama asal pertubuhan tersebut iaitu Sarekat Dagang Islam pada tahun 1909 demi menyaingi pedagang batik Cina di Indonesia. Sarekat Dagang Islam kemudiannya mengalami penjenamaan baharu yang dikenali sebagai Sarekat Islam pada tahun 1912 menerusi kepimpinan HOS Tjokroaminoto. Dalam dekad 1910-an Sarekat Islam dianggarkan memiliki hampir 2.5 juta ahli dalam kalangan golongan ulama, elit, intelektual, petani dan buruh. Antara tuntutan penting Sarekat Islam kepada pihak Belanda khususnya selepas ia memaparkan perjuangan bersifat poltik sejak tahun 1916 ialah menuntut kuasa yang lebih luas terhadap Volksraad (parlimen bayangan Belanda di Indonesia); menuntut pendidikan percuma kepada kanak-kanak Indonesia dan menuntut supaya kemudahan pertanian seperti sistem tali air ditambahbaik.
Photo via: geotimes.co.id
Pertubuhan Muhammadiah pula ditubuhkan pada November 1912 di Yogyakarta. Antara pengasas Muhammadiah ialah Ahmad Dahlan. Objektif penubuhan Muhammadiah ialah mengembangkan penyebaran agama Islam dan pendidikan dalam kalangan penduduk Indonesia. Muhammadiah juga ditubuhkan bagi melahirkan golongan pemoden Islam dalam kalangan golongan santri Indonesia berdasarkan pendedahan ilmu Islam dari Semenangjung Arab dan Mesir. Golongan intelektual, golongan profesional dan pegawai kerajaan Muslim merupakan antara golongan yang menyokong perjuangan Muhammadiah. Pada tahun 1920-an Muhammadiah memiliki pendirian menjalinkan kerjasama dengan pihak Belanda. Pendirian Muhammadiyah ini berbeza dngan Sarekat Islam demi mendapatkan bantuan atau dana daripada pihak Belanda. Tindakan ini juga menyebabkan kepimpinan Muhammadiyah mengasingkan diri daripada menyokong Sarekat Islam yang dipimpin oleh HOS Tjokroaminoto.
Photo via: tirto.id
Selain Sarekat Islam dan Muhmmadiah, Nahdlatul Ulama juga merupakan pertubuhan penting awal abad ke 20. Nahdlatul Ulama ditubuhkan pada Januari 1926 di Surabaya. Antara pengasas Nadhdlatul Ulama ialah Wahab Chasbullah dan Hasyim Asyari. Nahdlatul Ulama ditubuhkan dengan matlamat mempertahankan ajaran tradisionalis Islam dan menentang golongan pemoden Islam di Indonesia. Hal ini kerana, kebanyakan daripada pemimpin Nahdlatul Ulama merupakan golongan ulama dari peringkat kampung dan ahlinya kebanyakan adalah dalam kalangan petani dari Jawa dan Selatan Sumatera
Photo via: berdikarionline.com
Setahun selepas penubuhan Nahdlatul Ulama, Partai Nasionalis Indonesia (PNI) ditubuhkan pada tahun 1927. Nama asal PNI ialah Perserikatan Nasional Indonesia yang ditubuhkan oleh Kelab Pelajar Bandung pimpinan Soekarno 4 Jun 1927. Penubuhan PNI jelas dalam matlamat politiknya untuk menuntut kemerdekaan Indonesia dari Belanda dan meyatukan parti-parti politik kebangsaan Indonesia. Pendekatan tidak bekerjasama dengan Belanda merupakan antara pendirian PNI. Soekarno berhasil menyatukan persatuan-persatuan nasionalis menerusi Kongres Belia yang diadakan pada tahun 1928 dengan beberapa matlamat yang dicapai seperti Merah Putih menjadi lambang kepada bendera Indonesia; Indonesia Raya dinyanyikan sebagai lagu kebangsaan serta mengisytiharkan sumpah pemuda bagi memperkukuhkan semangat nasionalisme rakyat Indonesia. Keadaan ini menyebabkan Belanda melumpuhkan PNI dan aktiviti politik di Indonesia pada tahun 1929 dengan cara menangkap dan memenjarakan Soekarno selama 4 tahun.
Perkembangan politik serta persaingan ideologi atau pendekatan dalam pertubuhan nasionalisme bercorak agama di Indonesia mendorong Majelis Islam A’la Indonesia (MIAI) ditubuhkan. Penubuhan MIAI pada September 1937 asalnya adalah sebagai reaksi penentangan mereka terhadap dasar Belanda yang cuba memperkenalkan undang-undang sivil perkahwinan. MIAI menentang dasar Belanda tersebut yang cuba melarang golongan lelaki berkahwin lebih daripada satu. Penubuhan MIAI juga pada asasnya adalah untuk menjadi sebuah parti yang mampu memaparkan toleransi antara persatuan-persatuan Islam seperti Muhammadiah dan Nahdlatul Ulama yang merupakan dua parti gabungan kepada MIAI. Hal ini selaras dengan matlamat MIAI yang menekankan perpaduan dalam kalangan penduduk Muslim Indonesia tanpa mengira perbezaan politik atau fahaman dalam agama Islam.

Kahin, A.R. 2012. Islam Nationalism and Democracy: A Political Biography of Mohammad Natsir. Singapore: NUS Press.

Means, G.P. 2009. Political Islam in Southeast Asia. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.


Kongsikan Bersama