Penyerahan Negeri-negeri Melayu Utara kepada British

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Negeri-negeri Melayu Utara (NNMU) abad ke 19 dan awal abad ke-20 merujuk kepada negeri Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu. Meskipun NNMU memiliki raja Melayu berdaulat dalam pemerintahan kerajaan masing-masing, abad ke-19 menyaksikan NNMU dinaungi oleh Siam. Penyediaan khidmat tentera oleh raja-raja di NNMU serta penyerahan bunga emas kepada Siam sinonim sebagai simbol ketuanan yang dimiliki Siam terhadap NNMU.

Photo via: teakdoor.com
Menurut Tarling, Siam memiliki pandangan bahawa kerajaannya merupakan sebuah kuasa imperialis yang mendominasi sistem legasi China lampau dari aspek perhubungan antarabangsa. Sungguhpun demikian, British juga merupakan kuasa imperialis yang turut menanam minat sama sepeti Siam untuk menguasai politik dan ekonomi di NNMU. Robert Fullerton (Gabenor NNS, 1826-1830) misalnya menyedari bahawa apabila Belanda tidak lagi memiliki pengaruh di Melaka sejak tahun 1824, Siam bakal menjadi sebuah kuasa yang sentiasa mencari peluang ke atas kerajaan-kerajaan Melayu lain di Semenanjung. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan kepentingan sedia ada British terhadap pemerintahannya di Negeri-negeri Selat (NNS) sejak tahun 1826 dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) tahun 1895.
Photo via: medium.com
Justeru, timbul beberapa konflik antara British dengan Siam yang menjadi punca penyerahan NNMU oleh Siam kepada British tahun 1909 menerusi Perjanjian Bangkok. Antaranya ialah kebimbangan British terhadap kuasa-kuasa asing yang cuba meluaskan pengaruh di Tanah Melayu atau Siam. Contohnya, rancangan Perancis untuk membina terusan melintasi Segenting Kra sebelum tahun 1897 bagi mengabaikan Selat Melaka kawalan British, mendorong British untuk lebih berwaspada. Malah, British turut bimbang apabila pengaruh Jerman semakin meluas di Siam yang hampir dengan NNMU, terutama apabila ramai rakyat Jerman yang berkerja di bahagian jabatan landasan kereta api Siam.
Photo via: alchetron.com
Peranan yang dimainkan oleh pegawai dan ahli perniagaan British turut merealisasikan termeterainya Perjanjian Bangkok 1909. Contohnya, Franks Swettenham (Gabenor NNS, 1901-1904) merupakan seorang pegawai British yang cenderung menyokong perluasan pengaruh politik British di NNMU. Malah, peranan ahli perniagaan British seperti R.W Duff yang memonopoli konsesi perlombongan serta perdagangan melibatkan 1/3 tanah di Kelantan juga mendorong minat British untuk menguasai NNMU. Duff misalnya menzahirkan kebimbangan berbentuk ancaman bahawa sekiranya British tidak menguasai Kelantan, perkembangan ekonomi komersial Kelantan akan dikuasai oleh Jerman.
Photo via: geocities.ws
Kedudukan kewangan NNMU yang kian meruncing turut mendorong penyerahan NNMU kepada British. Perbelanjaan negeri Kelantan dan Terengganu antara tahun 1904 dan 1908 misalnya melebihi daripada jumlah pendapatan negeri sehingga mendorong kedua-dua kerajaan melakukan pinjaman terhadap NNMB. Kedah pada tahun 1904 menurut Andaya berada di ambang muflis selepas menganjurkan 5 istiadat perkahwinan diraja. Hutang Kedah terhadap Pulau Pinang yang kian meruncing seterusnya memaksa pemerintah Kedah melakukan pinjaman kepada Siam.
Photo via: teakdoor.com
Perasaan kurang senang Raja Chulalongkorn terhadap perjanjian-perjanjian dengan British sebelum tahun 1909 turut mendorong Siam menyerahkan NNMU kepada British. Meskipun British mengiktiraf ketuanan Siam terhadap NNMU menerusi Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, Raja Chulalongkorn menganggap perjanjian tersebut memalukannya. Ini kerana halangan penyerahan konsesi perdangangan oleh Siam kepada mana-mana kuasa asing tanpa persetujuan British dalam perjanjian tersebut menjejaskan usaha Chulalongkorn menggiatkan perkembangan sosioekonomi Siam. Ia ekoran Siam memerlukan dana untuk membina landasan kereta api bagi menyatukan wilayah-wilayah dalam kerajaannya sebagaimana yang diutarakan sarjana seperti Tarling. Dakwaan yang menyatakan golongan raja dan sultan di NNMU mula cenderung kepada pegawai atau ejen British juga tidak disenangi oleh Chulalongkorn. Ini bermula apabila Perjanjian Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902 memutuskan bahawa penasihat dari Bangkok berketurunan British perlu dilantik di Kelantan dan Terengganu, demi memperkukuhkan pengiktirafan British terhadap pertuanan Siam ke atas negeri-negeri tersebut. Pada tahun 1905 dan 1907 pula, Siam melantik penasihat kewangannya di Kedah dan Perlis yang turut merupakan warganegara British bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan negeri. Perkembangan ini memberi gambaran bahawa NNMU mula diserap dalam sistem pentadbiran British, seterusnya mendorong Chulalongkorn mengambil keputusan menyerahkan NNMU kepada British.
Ringkasnya, punca-punca penyerahan NNMU oleh Siam kepada British menerusi Perjanjian Bangkok 1909 berdasarkan perbincangan di atas menjelaskan bahawa, Siam tidak lagi menjadi kuasa imperialis yang relevan ke atas NNMU sejak penghujung abad ke-19. Konflik yang tercetus antara Siam dengan British pada tempoh tersebut lebih memihak kepada British yang berhasil melengkapkan projek British Malaya di NNMU rentetan daripada penguasaannya terhadap pentadbiran NNS tahun 1826 dan NNMB 1895.


Barbara Watson Andaya & Leonad Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Hampshire: Palgrave.

Nicholas Tarling. 1992. The Establishment of the Colonial Regimes. Dlm. The Cambridge History of Southeast Asia Volume Two: The Nineteenth and Twentieth Centuries. Nicholas Tarling (ed). Cambridge: Cambridge University Press. hlm 5-78.


Kongsikan Bersama