Sejarah Lisan Sebagai Sumber Sejarah

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Sumber sejarah lisan sering dipersoalkan oleh sesetengah sejarawan berikutan dari segi ketidaktepatan fakta dan kebenaran maklumat lisan yang disampaikan oleh informan. Kebiasaannya maklumat yang disampaikan oleh seseorang informan mungkin dipengaruhi oleh emosi yang mewujudkan unsur bias dalam penyampaian maklumat. Namun begitu, sejarah lisan tetap penting dalam penulisan sejarah kerana berperanan sebagai sumber lisan yang boleh dijadikan sumber primer atau sumber sekunder jika berlaku kekurangan sumber bertulis.

Photo by: toledoblade.com (ed)
Penyelidik memainkan peranan yang sangat penting dalam mengajukan soalan-soalan yang sesuai kepada informan supaya maklumat yang diperolehi adalah tepat. Hasil yang diperolehi daripada informan hendaklah ditafsir, disemak dan disusun semula walaupun daripada informan yang dipercayai. Ini kerana kesalahan-kesalahan kecil yang diragui dari segi maklumat lisan berkemungkinan berlaku semasa proses penyampaian sesuatu maklumat. Sumber lisan digunakan oleh pelbagai peringkat golongan masyarakat secara meluas bukan sahaja sejarawan malah orang biasa, ahli akademik, wartawan, aktivis sosial, penganalisis politik dan sebagainya dalam mengemukakan bukti. Lebih-lebih lagi, kaedah ini mendorong penyelidik menemui maklumat dan bukti baru yang diabaikan atau belum pernah dikaji atau mungkin disimpan oleh golongan tertentu.
Photo by: mysticicmindpower.com (ed)
Sebagai contoh, semasa darurat berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1948 hingga 1960, Tanah Melayu mengalami situasi yang huru-hara dan beberapa peristiwa telah meragut nyawa khususnya dalam peristiwa Bukit Kepong yang meragut banyak nyawa anggota polis dan ahli keluarganya. Darurat juga memperlihatkan keganasan komunis terhadap penduduk Tanah Melayu. Penyelidik boleh mendapatkan maklumat dengan lebih mendalam melalui sumber lisan, dengan menemu bual orang-orang yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Kesannya, penyelidik dapat menambah sumber-sumber sejarah berkaitan dengan darurat serta memenuhi keperluan penulisan sejarah yang menghadapi kekurangan sumber primer dan sekunder.
Photo by: nam.ac.uk (ed)

Kesimpulannya, sumber lisan sangat penting untuk digunakan sebagai sumber sejarah dalam hasil penyelidikan. Tanpa sumber sejarah sesuatu hasil penulisan tidak dikatakan sah dari segi kemunasabahan.

Rozeman Abu Hassan. 2004. Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah. Shah Alam: Penerbit Karisma Publications.

Paul Thompson. 1978. The Voice of the Past: Oral History. Oxford: Penerbit Universiti Oxford Press.


Kongsikan Bersama