Realiti Harem Diraja Siam: Indah atau Gundah???

Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Golongan harem diraja atau dikenali sebagai Nang Harm merupakan institusi sosial yang menyumbang ke arah kedaulatan Siam sekitar abad ke-19. Institusi ini disertai oleh saudara mara perempuan raja Siam, isteri-isteri raja, para gundik yang mana kegiatan harian mereka tertumpu di sekitar istana utama. Golongan harem diraja di Siam memperlihatkan peranan tersendiri ke arah penyatuan Siam, secara tidak langsung meningkatkan kewibawaan Raja Siam seperti Raja Mongkut. Golongan tersebut diberi kuasa untuk menentukan sebarang keputusan dalam negeri di bawah wilayah Siam yang mereka duduki.

Photo by: sirinyasthailand.de (ed)
Malah, golongan ibu kepada raja di seluruh wilayah Siam turut memainkan fungsi dalam politik menerusi gerakan penyatuan, dengan cara mewujudkan hubungan baik antara wilayah. Peranan golongan harem diraja Siam tersebut membolehkan keseragaman dari segi penyampaian maklumat berhubung dasar kerajaan pusat di Bangkok. Sekiranya terdapat beberapa hal yang tidak dipersetujui mereka dengan keputusan yang dibuat Raja Siam, maka Nang Harm akan bermesyuarat sesama mereka untuk meluahkan penambahbaikan agar Siam terus terpelihara di bawah pimpinan raja mereka.
Photo by: gutenberg.org (ed)
Sungguhpun demikian, tidak semua golongan Nang Harm memiliki keistimewaan pengaruh politik seperti di atas. Hal ini kerana, bilangan Nang Harm adalah seramai 9000 orang. Daripada jumlah tersebut hanya beberapa ratus Nang Harm sahaja yang memiliki strata sosial tinggi atau berpengaruh. Malah, kebanyakan wanita dan kanak-kanak yang tinggal di institusi Nang Harm adalah terdiri daripada golongan hamba. Dalam erti kata lain, wujud persaingan dalam kalangan Nang Harm agar kedudukan mereka menjadi lebih dihormati berbanding Nang Harm yang lain. Contohnya, golongan Nang Harm daripada golongan gundik yang mengandungkan anak Raja Siam, kedudukannya akan dihormati sebagai “ibu gundik”.
Photo by: gutenberg.org (ed)

Persaingan sesama golongan Nang Harm ini juga tidak menggambarkan kesemua mereka memperoleh keistimewaan atau layanan yang sama. Ini kerana terdapat golongan Nang Harm yang mengandungkan anak Raja Siam akan menjalani “sesuatu hukuman” yang menyebabkan mereka tidak lagi mampu untuk mengandung. Malah, terdapat Nang Harm yang memasuki institusi tersebut atas faktor paksaan oleh sebahagian keluarga yang berpengaruh di Siam. Tindakan tersebut dibuat supaya keluarga berpengaruh tersebut mendapat manfaat politik apabila anak perempuan mereka memiliki hubungan yang rapat dengan Raja Siam. Justeru, kehidupan sebagai Nang Harm hanya indah bagi wanita atau harem yang berasal dari keturunan kerabat diraja atau berhasil meningkatkan kedudukannya menerusi pendekatannya dengan Raja Siam. Namun, kehidupan Nang Harm boleh dianggap sebagai kehidupan yang “gundah gelana” khususnya wanita daripada golongan hamba atau yang terpaksa merelakan dirinya menjadi “mangsa kepentingan politik” keluarga-keluarga berpengaruh di Siam.

Leonowens, A. H. 1991. The Romance of the Harem (ed). Charlottesville: The University Press of Virginia.

Susan Morgan. 2008. Bombay Anna: The Real Story and Remarkable Adventures of the King and I Governess. California: University of California Press.

Photo by: teakdoor.com (ed)

Kongsikan Bersama