*Oleh: Hasanah Taib:)
Sebagai penuntut atau pengkaji sejarah, sumber amat penting untuk mengkaji atau memperdalami sesuatu peristiwa sejarah. Sumber sejarah terdiri daripada sumber primer, sumber sekunder, sumber tertier dan sumber lisan. Contoh sumber primer yang berbentuk dokumen adalah seperti surat-menyurat, manuskrip-manuskrip lama, catatan atau rekod persendirian, diari, penyata rasmi parlimen, laporan tahunan, minit mesyuarat dan sebagainya. Manakala, sumber primer yang berbentuk fizikal adalah seperti batu bersurat atau penemuan rangka manusia, haiwan, tembikar tinggalan zaman lampau oleh ahli arkeologi. Jadi, sifat sumber primer ini adalah dalam bentuk asli iaitu belum diolah atau ditafsir.
Justeru, beberapa persoalan perlu ditimbulkan pengkaji sejarah ketika mambaca sumber primer. Contoh-contoh persoalan yang boleh dibangkitkan;
Adakah penulis sumber menulis keadaan sebenar pada waktu itu?
Apakah kepentingan disebalik penulisannya?
Siapakah sasaran awal atau audien sumber tersebut ditujukan?
Adakah kandungan sumber primer yang ditulis berbentuk retorik, terus kepada makna atau tersirat?
Oleh itu, keupayaan pengkaji sejarah mencari jawapan kepada persoalan ini semasa membaca sumber primer membolehkannya menilai kebenaran maklumat di dalam sumber tersebut. Namun, kebenaran sesuatu maklumat perlu juga dinilai dengan cara penyemakan (cross checking) sumber primer atau dokumen yang lain.