Kelemahan Sumber Lisan

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Salah satu kelemahan sumber lisan adalah maklumat yang diberikan oleh informan boleh dipersoalkan. Kebanyakan informan kurang fasih atau mempunyai memori yang kurang tepat disebabkan sudah berusia. Peristiwa lampau seperti darurat, pendudukan Jepun, Perang Dunia Kedua dan sebagainya yang telah berlaku menyebabkan mereka lemah daya ingatan dalam penuturan dan penyampaian maklumat. Tambahan pula, mereka juga mungkin menceritakan tentang pengalaman lepas tanpa penceritaan yang lebih teperinci. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada maklumat yang disampaikan adalah bercanggah serta tidak akan membantu dalam pengumpulan maklumat. Misalnya, jika seseorang askar yang berkhidmat dalam perang, penglihatan matanya adalah terhad walaupun beliau menjadi saksi peperangan. Jadi, bukti sesuatu kejadian yang diamatinya sangat terbatas tetapi akan menambah fakta bahawa dirinya berperanan dalam pertempuran tersebut.

Kelemahan yang keduanya ialah mempunyai elemen “hindsight”. Sumber lisan yang diperolehi disangsikan kewibawaannya apabila ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan tidak akan menceritakan penglibatannya secara terbuka sebelum menjadi orang kenamaan atau orang yang berkepentingan. Hal ini demikian kerana mereka ingin menjaga nama baiknya supaya mendapat kepercayaan orang ramai serta mempunyai tokok tambah bagi menonjolkan dirinya yang ingin disampaikan. Apatah lagi jika saksi yang terlibat itu hanya tinggal seorang sahaja yang masih hidup. Dalam keadaan ini, kebenaran sumber lisan bergantung kepada kejujuran dan keikhlasan penyaksi itu sendiri. Oleh itu, maklumat penyaksi wajar disahkan kebenaran dengan membuat perbandingan dengan maklumat lisan yang sedia ada dan pita rakaman lain.

Kelemahan sumber lisan terakhir adalah sesetengah individu yang ditemu bual mungkin dipengaruhi oleh emosi, nostalgia dan media terhadap peristiwa yang dialaminya. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pentafsiran dan persepsi yang berbeza antara satu individu dengan individu yang lain terhadap sesuatu peristiwa dan penyampaian maklumat akan berbeza daripada peristiwa yang sebenar. Kesannya, maklumat yang disampaikan oleh informan mempunyai unsur prejudis dengan menambah fakta dalam keterangannya, menunjukkan sikap tidak puas hati, serta menjelaskan justifikasi terhadap sesuatu perkara semata-mata menjatuhkan air muka seseorang. Hal ini dapat dilihat apabila wujudnya pandangan berbeza daripada kaum Melayu dan India bahawa askar Jepun memberi layanan yang baik kerana orang Melayu berbanding kaum Cina yang mengatakan askar Jepun zalim dan tidak berperikemanusiaan apabila dikaji dari pelbagai sumber. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati mengendalikan sumber lisan yang diperoleh supaya tidak boleh diterima terus sebagai sumber sejarah tanpa membuat kajian secara mendalam.

Abu Talib Ahmad dan Chong Boon Kheng. 1996. Isu- isu Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusof Ibrahim. 2000. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama