Kerajaan Angkor- Bukti Pengukuhan Bangsa Khmer

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Empayar Khmer terbahagi kepada dua zaman iaitu Pra-Angkor yang bermula pada abad pertama hingga abad kelapan dan zaman Angkor pada abad kesembilan hingga abad kelima belas. Sejarah permulaan kerajaan Angkor muncul ekoran lenyapnya empayar Funan pada pertengahan abad ke-6 ekoran daripada pemberontakan sebuah negeri yang berkerajaan feudal bernama Chenla. Kerajaan Chenla terletak di barat daya Lin-yi. Melalui proses peralihan barulah wujud tahap Angkor yang mana berlaku percantuman Funan dan Chenla yang membentuk Angkor.

Photo by: thekingsofayutthaya.com (ed)
Sebenarnya, lokasi kerajaan Funan terletak di selatan Kemboja dan Kochin sekarang, manakala kerajaan Chenla pula terletak di utara kawasan tersebut. Funan menjadi kuasa yang paling kuat di Semenanjung Indochina dan terpenting di kawasan Asia Tenggara selama 500 tahun. Hal ini kerana ia berperanan sebagai sebuah pelabuhan Oc-Eo yang menjadi tumpuan para pedagang dari China dan India. Sekitar tahun 539M, kerajaan Funan semakin lemah ekoran penaklukan wilayah Kemboja oleh bangsa Khmer yang tinggal di kawasan utara iaitu Chenla di bahagian tengah Sungai Mekong berdasarkan sebuah catatan China. Penaklukan ini menunjukkan bahawa bermulalah zaman Pra-Angkor kerajaan Khmer sehinggalah tahun 802M. Orang-orang Khmer terus meluaskan kuasa dan menyuburkan kebudayaan Khmer ke Asia Tenggara.
Photo by: harindabama.com (ed)
Namun begitu, usaha mendirikan kerajaan menemui kegagalan apabila kerajaan terpecah kepada dua iaitu Chenla Darat (Upper Chenla) dan Chenla Hilir (Lower Chenla). Perpecahan ini telah memberi peluang kepada kerajaan Srivijaya yang sedang mengukuhkan kuasanya menyerang kerajaan Chenla. Maharaja Indra (787-812M), raja Srivijaya dari keturunan Sailendra Jawa telah berjaya menakluk Kemboja selama 28 tahun sampai 802M. Semasa serangan tersebut, kerajaan Srivijaya telah membawa pulang seorang anak raja dari Chenla Utara untuk dijadikan raja boneka di Chenla Selatan.
Photo by: timetoast.com (ed)
Kejatuhan Chenla atau lebih dikenali sebagai zaman pra-Angkor akibat peristiwa ini menandakan bermulanya zaman Angkor pada abad ke-9. Para sejarawan berpendapat bahawa Jayavarman II adalah pengasas kerajaan Angkor. Jayavarman II telah diisytiharkan oleh Maharaja Jawa sebagai raja. Bermula dari sinilah Jayavarman II mula mengukuhkan kuasanya dan kembali ke Chenla setelah beberapa tahun tinggal di Srivijaya.
Photo by: devata.org (ed)

Kerajaan Angkor dikatakan muncul sebagai sebuah kerajaan agraria yang berasaskan pertanian. Ibu negara Angkor disebut sebagai Vyadhapura. Secara kronologinya, empayar Khmer terbahagi kepada tahap permulaan, tahap kebesaran dan tahap kemunduran. Tahap permulaan antara 800 hingga 1000 M dan tahap kebesaran iaitu 1001 hingga 1243 M serta tahap kemunduran antara 1243 hingga 1434 M. Kerajaan Angkor merupakan sebuah kerajaan yang luas di Asia Tenggara dan sangat terkenal pada pertengahan abad ke-7 hingga abad ke-15.

D. G. E Hall. 1979. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Brian Harrison. 1966. Asia Tenggara: Satu Sejarah Ringkas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Haji Abdullah. 1989. Islam dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn Bhd.


Kongsikan Bersama