*Oleh: Jacqueline Salomi:)
Sejarah lisan merupakan adalah proses melibatkan seseorang menceritakan peristiwa lampau yang pernah ditempuhi oleh seseorang. Sumber lisan menjadi salah satu rujukan asas kepada suatu cabang sejarah yang dikenali sebagai sejarah lisan. Pendekatan ini melibatkan proses menemubual dan merakam keterangan-keterangan orang yang mengetahui sesuatu peristiwa sejarah sama ada orang tersebut terlibat secara langsung atau sekadar menyaksikannya. Berdasarkan James H. Morrison “Oral history has usually meant an account of a historical event, person or place, a first-person memory of the past, by an eyewitness”.
Pada abad ke-20 sumber lisan semakin terkenal apabila penggunaan dalam penulisan sejarah telah diperluaskan melalui disiplin lain seperti antropologi, sosiologi, ekonomi, politik dan sebagainya. Pada tahun 1960-an negara Britain, Eropah dan Amerika Utara giat menggunakan sejarah lisan untuk kajian dan sebagai kaedah mengumpulkan sumber sejarah dalam kalangan ahli-ahli arkib, pustakawan, sains sosial, sejarawan, dan antropologi. Hal ini menyebabkan bidang sejarah berkembang luas meliputi sejarah sosial, politik, masyarakat bawahan, kebudayaan, ketenteraan, ekonomi dan sebagainya. Pada tahun 1948, Prof. Allan Nevins dari Universiti Columbia di Amerika Syarikat telah melancarkan suatu projek yang dikenali sebagai The Oral History Project. Ini telah menarik minat sejarawan, ahli antropologi, pustakawan, sains sosial dan ahli arkib untuk menggunakan sumber lisan.
Muhd Yusof Ibrahim. 2000. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rozeman Abu Hassan. 2004. Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah. Shah Alam: Penerbit Karisma Publications.
James H. Morrison. 1998. Oral History in Southeast Asia: Theory and Method. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
Jan Vansina. 1985. Oral Tradition as History. Madison: University of Wisconsin Press.