Bulan Melayu dan Ibu Zain

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Majalah Bulan Melayu diterbitkan pada tahun 1930 oleh tokoh guru dan sastera wanita terkenal di Tanah Melayu iaitu Ibu Zain. Majalah ini memiliki keistimewaan tersendiri kerana kaum wanita memainkan peranan sepenuhnya dalam urusan penerbitan artikel. Dalam bahagian kepengarangan misalnya, Bulan Melayu memberi tumpuan kepada sumbangan atau karya yang dihasilkan penulis wanita. Namun, peranan golongan lelaki turut diperlukan Bulan Melayu khususnya melibatkan skop tugas penghantaran serta pengiklanan majalah tersebut.

Bulan Melayu diterbitkan hasil daripada kesedaran peneraju dan ahli dalam Persekutuan Melayu Johor bagi mewakili suara wanita di Tanah Melayu. Ibu Zain merupakan “arkitek” dan “jurutera” kepada kewujudan Bulan Melayu sebagai majalah rasmi Persekutuan Melayu Johor. Bulan Melayu memberi satu dimensi baharu berhubung saranan peningkatan sosial masyarakat Melayu menerusi pandangan wanita berkenaan soal feminin mahupun ekonomi. Contohnya, wanita Melayu disaran untuk melihat timur dengan merujuk Jepun sebagai ikon untuk membangunkan diri.
Ibu Zain memanfaatkan usia mudanya sebagai penyunting dan pengarang Bulan Melayu ketika beliau berumur 27 tahun. Usaha murni beliau mendapat sokongan daripada golongan pemerintah iaitu Raja dan Tengku Ampuan Johor. Kesungguhan Ibu Zain mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita dalam Bulan Melayu memperlihatkan perkembangan positif tahun 1930-an apabila Bulan Melayu menjadi majalah keluaran wanita Johor yang mampu disebar ke seluruh Tanah Melayu serta Indonesia. Kedudukan majalah tersebut mendapat tempat dalam kalangan guru sekolah di Johor kerana ia dikecualikan bayaran setem oleh kerajaan negeri.
Photo via: penangmonthly.com
Intipati dalam Bulan Melayu kebanyakannya berunsur pendidikan dan menyedarkan bangsa Melayu. Contohnya dalam Tajuk “Ruangan Pojok”, iaitu Rampaian Mak Cik, Ibu Zain mengutarakan beberapa pandangan. Antaranya Ibu Zain mencadangkan masyarakat Melayu makan duduk di atas kerusi untuk tujuan kesihatan. Malah, beliau menegur lelaki Melayu yang memakai songkok dan kain pelikat tetapi turut mengenakan baju kemeja berserta kot. Hal tersebut menurutnya merupakan satu tindakan untuk meniru barat, pada masa sama menjadi bahan ketawa orang lain yang tidak ingin budaya pemakaian Melayu tercemar.
Photo via: endofempire.asia

Majalah Bulan Melayu terhenti penerbitannya semasa perang dunia kedua awal dekad 1940-an. Keadaan tersebut tidak mematahkan semangat Ibu Zain memperjuangkan nasib wanita. Beliau menubuhkan sebuah kelas malam di Johor Bharu untuk meneruskan perjuangannya bersama perkumpulan perempuan tidak rasmi. Justeru, kewibawaan Ibu Zain memimpin Bulan Melayu dari tahun 1930 hingga 1941 masih diakui dalam kalangan wanita Melayu. Beliau turut aktif dalam kegiatan penulisan semasa pemerintahan Jepun demi mempertahankan imej wanita Melayu. Jelasnya, Ibu Zain merupakan tokoh wanita yang perlu dijadikan ikon dalam kalangan generasi kini supaya tidak berputus asa dalam kehidupan khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi atau kelangsungan hidup sewaktu musibah covid-19. Ini kerana Ibu Zain membuktikan beliau mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat dalam tempoh kemelesetan ekonomi dunia 1930-an sehingga ke zaman meletusnya perang dunia kedua 1940-an.


Bulan Melayu. Januari 1932. Dipetik daripada Dupa Sejarah Penulisan Wanita Masa Lampau. 1992. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.

Abdul Rahman Abdullah. 1998. Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran. Selangor: Dewan Bahasa Pustaka.

Wanita Dengan RumahTangga. Ibu Zain Binti Sulaiman. Penggal 11. SP.42/37.

Siri Pengkesahan Sejarah. Anjuran Arkib Negara Malaysia dengan PERTIWI. Wanita di Dalam Sejarah Malaysia. 28 Januari 1984. Jalan Duta Kuala Lumpur.


Kongsikan Bersama