Ciri-ciri Penting Sumber Sekunder, Tertier & Lisan

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Hasanah Taib:)

Sumber sekunder merujuk kepada sumber bertulis seperti buku, artikel, jurnal, akhbar semasa dan majalah semasa. Maklumat yang dipaparkan dalam sumber kedua adalah idea daripada pengarang. Pengarang kebiasaannya menyampaikan maklumat dalam bentuk penceritaan, rencana atau kajian yang dilakukannya. Sehubungan itu, penghasilan sumber sekunder kebiasaannya memerlukan pengarang untuk merangka persoalan-persoalan tentang maklumat yang ingin disampaikan menerusi persoalan 5 W/1 H (What/Why/Who/When/Where/How).

Photo by: toledoblade.com (ed)
Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah, dalam sumber sekunder seperti buku ilmiah mengandungi sumber primer yang digunakan oleh pengarang untuk memperkukuhkan kajian atau perbincangannya. Ia juga sebagai panduan kepada pembaca yang juga pengkaji sejarah untuk menilai kesahan sumber primer yang digunakan oleh pengarang. Seorang pengkaji sejarah perlu menitikberatkan penggunaan sumber sekunder bersifat ilmiah dengan mengambil kira penulis berautoriti seperti sejarawan/sarjana/profesor; memiliki sumber-sumber rujukan; dan penerbit ilmiah (seperti Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit-penerbit universiti).
Photo by: ohjob.info (ed)
Sumber tertier pula merujuk kepada sumber-sumber internet. Penggunaannya dalam kajian sejarah perlu dihadkan berbanding sumber sekunder dan primer. Ini kerana kebanyakan sumber internet seperti blog-blog sejarah hanya mengulang kembali penceritaan daripada sumber-sumber sekunder.
Photo by: thebalancesmb.com (ed)

Sumber lisan pula merujuk kepada responden yang berautoriti dalam sesuatu kajian sejarah. Sumber lisan adalah merangkap sumber primer, sekunder, tertier atau sebagainya bergantung kepada tahap autoriti seseorang responden. Contohnya sekiranya kajian sejarah adalah bertemakan peperangan, individu yang terlibat dalam peperangan tersebut adalah sumber primer. Manakala, individu yang mendengar cerita dari pihak yang terlibat dalam perang tersebut akan menjadi sumber sekunder. Individu yang mendengar daripada individu yang mendengar kisah perang daripada pihak yang terlibat dalam perang akan menjadi sumber tertier. Disebabkan itu, autoriti responden perlu diutamakan pengkaji sejarah. Namun pada hakikatnya, sumber lisan juga memiliki kelemahan seperti yang dijelaskan artikel-artikel TahuTuai sebelum ini atas faktor keupayaan responden (khususnya yang berusia) untuk mengingati sesuatu peristiwa lepas kemungkinan terhad, serta diselitkan unsur-unsur mitos.


Kongsikan Bersama