Dari Tiga Golongan Elit, Hanya Satu Memikat Melayu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Tahun 1930-1940-an dikenali sebagai tempoh pemerintahan kolonial atau British Malaya. Tempoh tersebut menyaksikan kemunculan tiga golongan elit Melayu baharu dalam masyarakat. Pertama golongan pemoden Islam (dipengaruhi dengan idea islah Kaum Muda). Kedua golongan radikal berpendidikan Melayu. Ketiga golongan aristokrat atau kerabat berpendidikan Inggeris.

Photo by: pnm.gov.my (ed)
Golongan pemoden Islam seperti Syed Sheikh Al-Hadi dan anaknya Syed Alwi Al-Hadi amat berpengaruh dalam bidang penerbitan menerusi pemilikan terhadap akhbar seperti Saudara tahun 1930-an. Majoriti golongan pemoden Islam adalah golongan Melayu yang dilabel sebagai Jawi Peranakan (Campuran Melayu India) atau Melayu Arab. Populariti idea mereka berhubung kemajuan masyarakat Melayu bermula apabila Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM; sinonim sebagai Sahabat Pena) ditubuhkan bertujuan menggalakkan masyarakat Melayu supaya minat membaca dan menulis sesuatu karya. Namun begitu, ahli PASPAM mendapati peranan PASPAM yang dipengaruhi oleh golongan pemoden Islam ini semakin cenderung kepada siasah (politik) yang seterusnya menjadi sebab penolakan masyarakat Melayu terhadap mereka. Sentimen anti Jawi Peranakan dan anti Melayu Arab yang dicetuskan wartawan seperti Abdul Rahim Kajai turut menjejaskan penerimaan masyarakat Melayu terhadap golongan pemoden Islam.
Photo by: boombastis.com (ed)
Golongan kedua atau elit berpendidikan Melayu kebanyakannya dipengaruhi oleh golongan kiri atau radikal dari Indonesia. Mereka yang dimaksudkan adalah Ibrahim Haji Yaacob yang mendapat pendidikan di Sultan Idris Training College (SITC), Hassan Manan dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Perbincangan golongan intelek berpendidikan Melayu ini berhubung nasib masyarakat pernah diadakan di kelab-kelab malam di Kuala Lumpur dengan minuman brandi. Meskipun mereka asasnya menyokong perjuangan islah golongan pertama, sokongan masyarakat Melayu terhadap perjuangan mereka juga kurang jelas. Ia didorong oleh semangat radikal atau semangat menongkah arus penjajahan yang menebal dalam jiwa mereka. Justeru, persamaan unsur politik seperti menentang penjajahan British yang dikesan dalam kegiatan golongan elit pertama dan kedua merupakan antara faktor kedua-duanya tidak mendapat sokongan jelas dalam kebanyakan masyarakat Melayu yang cenderung mengamalkan pendekatan sederhana.
Photo by: naval-history.net (ed)

Golongan ketiga atau golongan aristokrat Melayu berpendidikan Inggeris menjadi asas penerimaan atau sokongan daripada masyarakat Melayu. Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang ditubuhkan pada tahun 1926 merupakan antara pelopor awal kepada kepada elit baharu ini. Ia seterusnya diikuti oleh penubuhan persatuan-persatuan bersifat bangsawan seperti Persatuan Melayu Selangor tahun 1938 pimpinan Tengku Ismail Tengku Mohd Yasin. Golongan elit aristokrat ini pernah melahirkan sokongan kepada British supaya memperoleh kemenangan dalam Perang Dunia Kedua tahun 1939. Sokongan mereka terhadap British menyebabkan mereka mudah untuk mempersiapkan diri sebagai pentadbir ke arah kemerdekaan menerusi penubuhan United Malay National Organization (UMNO) yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar. Meskipun penerapan nilai Islam kurang menjadi penekanan perjuangan golongan aristokrat Melayu, matlamat mereka yang jelas membantu orang Melayu serta sokongan terhadap raja-raja memperlihatkan ia menjadi asas mereka menjadi kelompok dominan disokong oleh masyarakat Melayu yang cenderung kepada ideologi konservatif.


William R. Roff (ed). 2003. Nasionalisme Melayu. (Terj. Ahmad Boestamam). Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Husin Ali. 2008. The Malays: Their Problems and Future. Kuala Lumpur: The Other Press.


Kongsikan Bersama