Daulat & Derhaka

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Daulat dan derhaka merupakan konsep yang signifikan dalam pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu dan sering digunakan oleh raja-raja Melayu. Raja ataupun sultan merupakan pemerintah tertinggi dalam sistem pemerintahan masyarakat Melayu tradisional. Daulat dan derhaka bermula hasil wa`adat (perjanjian) antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Daripada wa`adat tersebut maka konsep daulat dan derhaka jelas dalam pemerintahan masyarakat Melayu tradisional dan digunapakai sehingga ke hari ini. Konsep daulat dan derhaka sangat berkait rapat dengan unsur keagamaan dan kepercayaan. Hakikatnya, daripada wa’adat tersebut telah wujudnya gelaran Yang Dipertuan kepada Seri Teri Buana. Demang Lebar Daun merupakan orang pertama yang menggelar Seri Teri Buana dengan gelaran tersebut, manakala Demang menggelar dirinya sebagai patik.

Photo by: adenanarshad.blogspot.com (ed)
Konsep daulat sering dikaitkan dengan kepercayaan bahawa raja atau sultan mempunyai kuasa ghaib dan sesiapa yang menderhaka akan mendapat tulah. Daulat juga menjadi satu penanda aras bagi keadaan pemerintahan menerusi semangat dan peribadi seseorang raja atau sultan. Ukuran kedaulatan seseorang raja atau sultan ditentukan menerusi keupayaannya dalam memelihara kemakmuran rakyat dan kerajaan. Hal ini kerana, konsep daulat menjelaskan bahawa raja atau sultan yang adil dan saksama memberi impak positif terhadap kerajaan dan rakyat. Ia diterjemahkan melalui hasil tanaman dan ternakan yang banyak serta kepesatan perkembangan perdagangan. Contohnya, Melaka menjadi tumpuan pedagang asing semasa era pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alaudin Riayat Syah. Tempoh tersebut menyaksikan kerajaan Melaka menjadi pelabuhan entreport dan pelabuhan utama di Alam Melayu serta menjadi pusat perkembangan ilmu agama.
Photo by: colonialvoyage.com (ed)
Kedaulatan seseorang raja atau sultan bukan hanya tertumpu kepada kerajaannya sahaja malahan juga kepada jajahan takluknya. Di samping itu, kedaulatan raja dan sultan diukur menerusi alat-alat kebesaran yang dimiliki oleh raja dan penggunaan bahasa diraja. Seorang raja atau sultan yang berdaulat mempunyai alat-alat kebesaran diraja seperti gendang dan nobat iaitu alat muzik untuk adat istiadat diraja yang jarang sekali digunakan. Kepelbagaian jenis peralatan pentadbiran yang dimiliki raja seperti kayu gamit, puan naga taru, kamala, surat chiri, cap mohor diraja, payung diraja atau ubar-ubar membuktikan seseorang raja atau sultan memiliki kedaulatan tersendiri.
Photo by: eisen-twitter.com (ed)
Namun, konsep derhaka juga telah membentuk sikap ketaatan masyarakat Melayu tradisional yang melangkaui batas fahaman biasa terhadap institusi diraja terutamanya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman Kerajaan Johor-Riau. Peristiwa Hang Jebat menderhaka merupakan bukti terhadap ketinggian konsep ini. Peristiwa tersebut berlaku apabila Hang Jebat dilantik menggantikan Hang Tuah yang telah dihukum atas fitnah para pembesar. Hang Jebat telah menceroboh istana dan membuat huru-hara. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghentikan keadaan hura-hara yang dilakukan Hang Jebat. Malangnya, semuanya tidak berhasil sehinggalah Dato’ Bendahara memberitahu rahsia tentang Hang Tuah yang masih hidup dan Hang Tuah berikutnya menewaskan Hang Jebat sebagai kesetiaannya kepada Sultan. Kebiasaannya, sesiapa yang menderhaka dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional mayatnya akan dibiarkan hingga menjadi bangkai akan tetapi mayat Hang Jebat ditanam di hujung Melaka atas permintaan Hang Tuah.
Photo by: jamaican.com (ed)

Peristiwa penderhakaan Laksamana Bentan turut menjadi bukti berhubung konsep derhaka. Dikatakan Laksamana Bentan telah menderhaka untuk membalas dendam atas kematian isterinya iaitu Dang Anum. Isterinya yang sarat mengandung telah memakan seulas buah nangka yang disimpan untuk santapan Sultan Mahmud. Akibatnya, Dang Anum telah dibunuh dengan cara perutnya dibelah untuk mengeluarkan ulas nangka tersebut. Disebabkan itulah tercetusnya penderhakaan Laksamana Bentan terhadap Sultan. Kesannya, tulah atau nasib malang telah menimpa golongan rakyat ini apabila Sultan murka dengan perbuatan derhaka yang dilakukan. Justeru penderhakaan oleh Hang Jebat dan Laksamana Bentan memberi gambaran bahawa ia turut mencetuskan kesetiaan masyarakat Melayu yang lain dalam bentuk mempertahankan institusi diraja. Malah, ia turut menimbulkan persepsi masyarakat Melayu Tradisional bahawa derhaka memberi kesan kepada kehidupan apabila keturunan mereka berhadapan dengan tulah dari seseorang raja. Keadaan ini menjelaskan konsep daulat dan derhaka pada perspektif masyarakat Melayu tradisional saling memiliki sifat kebergantungan antara satu sama lain.

Darus Ahmad. 1960. Laksamana Hang Tuah. Saudara Sinaran Berhad

Leonard Y. Andaya. 1975. Kingdom of Johor. Oxford University Press: Kuala Lumpur.


Kongsikan Bersama