*Oleh: Ezafel Hakimi:)
Kolonialisme berasal dari kata colunus (colonia) yang bermaksud menguasai. Istilah kolonialisme membawa makna yang berlainan mengikut masa dan keadaan ia digunakan. Secara dasarnya, kolonialisme memiliki dua definisi. Pertama, proses sesuatu kuasa untuk memiliki kawasan petempatan baru melalui penaklukan dan penghijrahan. Misalnya, penghijrahan British mendiami Tanah Melayu adalah disebabkan untuk mengekalkan hubungan serta menguasai pemerintahan. Oleh hal yang demikian kawasan itu merupakan sebahagian daripada kawasan jajahan British. Keduanya adalah cara penghijrahan, iaitu perpindahan rakyat sesuatu kuasa ataupun negara ke kawasan yang belum diterokai atau didiami oleh orang lain. Kolonialisme merujuk kepada dasar melalui imperialisme. Contohnya, apabila kita menyebut tentang kolonialisme, maka di dalam fikiran sudah terbayang tentang masalah penindasan, penghinaan atau eksploitasi yang telah dilakukan oleh kuasa-kuasa imperialisme Barat dan Asia kepada penduduk peribumi. Perkara ini telah berlaku kepada Tanah Melayu sewaktu penjajahan Inggeris, Belanda dan juga Portugis.
Namun ia berbeza dengan epistemologi yang diberikan oleh Professor Fieldhouse iaitu “kolonialisme kini hanya bererti keadaan orang-orang yang dijajahi dan digunakan khususnya kepada masyarakat apabila berada di bawah kawalan politik sebuah negara Eropah atau negara Amerika Syarikat”. Seandainya takrifan Fieldhouse diterima, ini bermakna perluasan kuasa yang dijalankan oleh kuasa Imperialis Asia seperti Jepun tidak boleh diklasifikasikan sebagai bentuk kolonialisme kerana beliau telah menyifatkan kolonialisme sebagai penjajahan oleh kuasa Eropah dan Amerika Syarikat sahaja. Keadaan ini telah menyebabkan timbulnya kekeliruan ke atas definisi sebenar kolonialisme. Berdasarkan epistemologi yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh di atas, jelaslah bahawa kolonialisme merupakan suatu bentuk perluasan kuasa terhadap suatu kawasan dan ia juga merupakan salah satu bentuk penindasan, penghinaan atau eksploitasi ke atas orang-orang peribumi.
Azhar Hj Wahid. 2011. Hegemoni Intelektual Kolonialisme Dalam Novel Melayu. Jurnal Melayu. 18(2): 170
Cheah Boon Kheng & Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dan di Negara-negara Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti Publications.
George Nadel & Perry Curtis. 1994. Imperialism and Colonialism. Mac Millan: Collonies Collection.