*Oleh: Ezafel Hakimi:)
Lapisan pertama yang menaungi golongan ini merupakan golongan rakyat. Golongan ini mewakili jumlah terbesar dalam sistem hieraki masyarakat di sesebuah kerajaan atau negeri. Bagi golongan ini, kesetiaan mereka terletak pada Raja atau Sultan. Namun, dalam beberapa perkara, kesetiaan mereka lebih tertumpu kepada golongan pembesar. Hal ini kerana golongan pembesar mempunyai pengaruh yang besar dalam pemerintahan negeri atau mempunyai kekuatan dan kekayaan melebihi daripada Raja atau Sultan. Rakyat biasa mempunyai kedudukan yang penting kerana mereka merupakan tonggak kepada pemerintahan kerajaan Melayu. Disebabkan kedudukan mereka yang penting serta ramai, maka undang-undang yang sedia ada dalam Alam Melayu lebih kepada pengawalan golongan ini daripada melakukan sesuatu tindakan yang mampu menimbulkan kekacauan dalam sesebuah kerajaan.
Hamba berhutang pula merupakan golongan rakyat merdeka yang terbeban kerana terikat hutang dengan seseorang individu seperti golongan pembesar. Bagi golongan ini, mereka terpaksa bekerja dengan pihak pemiutang sehingga hutang mereka selesai. Mereka akan melakukan pelbagai pekerjaan seperti bekerja di bendang, lombong dan lain-lain. Sekiranya mereka tidak dapat melangsaikan hutang ini, maka anak-anak mereka terpaksa menyambung kerja ini sehinggalah selesai. Namun begitu, atas beberapa perkara, hutang mereka boleh dihapuskan dan statusnya kembali merdeka. Sebagai contoh, Raja Medeliar membebaskan Si Kitul dari hutang-hutangnya apabila Si Kitul memberitahu berkenaan penerimaan Tun Mutahir terhadap wang dari Nina Sura Dewana yang memenangkan Nina Sura Dewana dalam penghakiman di antara mereka.
Muhammad Haji Salleh. 1997. Sulalatus al-Salatin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Liaw Yock Fang. 2003. Undang-Undang Melaka Dan Undang-Undang Laut. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Seri Lanang Jaya Haji Rohani et el. 2013. Penghayatan Karya Agung. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.