Hellenistik

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Perkataan ‘hellenistik’ berasal daripada perkataan Greek klasik iaitu ‘hellenisme’ yang merujuk kepada golongan yang menutur bahasa hellenic atau memiliki tingkahlaku seperti penduduk Greek. Helenistik merujuk kepada penduduk asal Greek dan penduduk luar yang mampu bertutur dalam bahasa Greek. Ia juga dikaitkan dengan golongan pendatang Greek yang telah menerima budaya Greek dan menyesuaikan budaya tersebut dalam kehidupan mereka. ‘Hellenisme’ merujuk kepada budaya dan bukan bangsa. Penyebaran tamadun dikenali sebagai helenization dan kawasan yang menerima peradaban Greek disebut sebagai ‘Dunia Hellenistik’. Zaman hellenistik atau Graeco-rom adalah zaman berkembangnya tamadun bersifat antarabangsa yang dicipta berasaskan kepada kebudayaan Greek. ‘Hellenizein’ pula bererti bertutur dalam bahasa Greek atau menyebelahi orang Greek. Isokrates menyatakan bahawa istilah ‘Hellene’ harus diberikan kepada seseorang berdasarkan budaya hellenisme yang diamalkan dan bukannya bangsa. Sir William Tarn menyatakan bahawa zaman Hellenistik merupakan satu budaya baru yang menggabungkan elemen-elemen Greek dan Timur; kesinambungan asas tamadun Greek yang diubahsuai mengikut keadaan baharu.

Photo via: moyak.com
Terdapat satu kelas baharu muncul untuk mencorak kehidupan zaman hellenistik iaitu kelas atasan yang dikenali Graeco Oriental yang bertutur dalam bahasa Greek yang disatukan dalam kebudayaan Greek. Pada zaman ini, tamadun Greek dan Rom bertembung untuk membentuk kombinasi baru tetapi elemen-elemen utama adalah dari Greek. Pertembungan atau asimilasi kedua-dua tamadun tersebut digelar ‘hellenistik’ oleh para sejarawan. Tamadun ini diambil alih oleh Rom dan kemudiannya disesuaikan ke dunia barat. Contohnya menjelang 212 S.M, Rom mula campur tangan dalam hal ehwal hellenistik. Rom berhasil menguasai keseluruhan Mediterranean dan Mesir pada penghujung 30 S.M.
Photo via: funnyjunk.com

Beberapa bandar menjadi dominan pada era hellenistik. Bandar-bandar dari era klasik seperti Athens, Corinth, Thebes, Miletus, dan Syracuse terus berkembang maju manakala bandar-bandar lain muncul sebagai pusat-pusat utama di seluruh empayar. Pergamum, Ephesus, Antioch, Damascus atau Damsyik dan Trapezus merupakan antara bandar yang wujud pada zaman hellenistik hingga ke hari ini. Selain itu, zaman hellenistik ini juga dapat dilihat dengan kemunculan tiga dinasti iaitu Seleucuid di Asia, dinasti Antigonos di Makedonia dan dinasti Ptolemy di Mesir. Ketiga-tiga dinasti ini banyak menyumbang kepada kemajuan dalam pelbagai bidang pada zaman hellenistik yang sememangnya memberi pengaruh besar kepada tamadun Eropah.

Sivachandralingam Sundara Raja. 2002. Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan publications & Distributors Sdn Bhd.

W.W Tarn. 1951. Hellenistic Civilisation in G.T. Griffth. New York: Midsumme.


Kongsikan Bersama