*Oleh: Birru Aidan:)
Ketika Ibu Zain berusia 13 tahun, keluarganya berpindah ke Kampung Paya Jaya Waras. Peranan Ibu Zain dalam bidang pendidikan jelas dilihat di kampung ini apabila beliau membuka sekolah yang dikenali Tadika Tunas Suci Islam pada tahun 1919 ketika beliau berumur 16 tahun. Sekolah tersebut khas untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Sekolah tersebut dibina dengan biayanya sendiri menerusi upah yang diperoleh Ibu Zain menterjemahkan cerita bahasa Melayu daripada tulisan jawi ke rumi. Upah tersebut juga diperoleh beliau menerusi kerja-kerja menaip surat. Sumbangan pertama beliau dalam pendidikan ini sangat dikagumi kerana usia muda tidak menghalangnya berbakti kepada masyarakat.
Beliau seterusnya berpindah ke Muar dan menjadi pendidik di sekolah perempuan kerajaan di negeri Johor. Ketekunan serta kesungguhan dalam profesion pendidikan memudahkan beliau untuk menjawat jawatan penting seperti Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Negeri Johor pada 1927. Ketekunan dalam pendidikan ini membuahkan hasil apabila guru-guru perempuan Melayu sekitar tahun 1920-an dapat disatukan oleh Ibu Zain. A. Samad Ismail contohnya berpendapat, Ibu Zain berjaya membawa perubahan besar kepada pelajaran anak-anak perempuan.
Ibu Zain berjaya mengubah persepsi ibu bapa bahawa anak-anak perempuan seharusnya diberi ruang dan peluang dalam pelajaran untuk mengubah nasib keluarga. Lantaran itu, sebagai pembela dan pejuang pendidikan, Ibu Zain percaya hanya menerusi kedudukan, jawatan serta penglibatan wanita dalam sesebuah perkumpulan boleh meyakinkan masyarakat untuk mengubah nasib mereka. Sehubungan itu, beliau semakin aktif apabila menubuhkan Persatuan Guru Perempuan Melayu dan Agama Johor. Persatuan tersebut dipimpinnya sendiri sebagai Yang di Pertua. Kerja-kerja pejabat turut tidak dilupakan Ibu Zain dalam kesibukan memegang pelbagai jawatan.
Slogan “Agama dididik, moden dibela” memperlihatkan kesungguhan beliau untuk berbakti kepada anak bangsa. Sambil menjadi tenaga pengajar, Ibu Zain turut berkongsi idea dengan guru-guru sekolah Melayu agar sentiasa menanamkan sikap cintakan ilmu kepada semua lapisan masyarakat. Majalah Bulan Melayu (diterbitkan Persatuan Guru Perempuan Melayu Johor) merupakan medium untuk Ibu Zain mengubah sikap dan kepercayaan lama orang Melayu khususnya mengenai peranan wanita. Hal ini dapat melahirkan percambahan pemikiran kepada golongan pembaca dan perkembangan intelek orang Melayu.
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia-Biografi. AP/133A.
Dokumentari Khas Jasamu di Kenang- Ibu Zain. V. 18/88.
Siri Pengkesahan Sejarah. Anjuran Arkib Negara Malaysia dengan PERTIWI. Wanita di Dalam Sejarah Malaysia. 28 Januari 1984. Jalan Duta Kuala Lumpur.