Kedah Tua: Kerajaan Melayu Paling Awal Menerima Islam

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Kedatangan dan penyebaran agama Islam di Kedah Tua berlaku pada sekitar kurun ke-12 hingga ke-15. Kesan daripada pengaruh Islam ini telah terbentuknya sebuah kerajaan Melayu yang berbeza dari zaman sebelumnya yang dikenali sebagai Kesultanan Kedah pada tahun 1136. Sejak tahun 1136 hingga 2017, iaitu bermula dari pemerintahan Kedah Tua sehingga kini, Kesultanan Kedah berusia 881 tahun yang mempunyai 28 orang sultan yang bertakhta merangkumi lapan buah pusat pemerintahan. Catatan sejarah membuktikan bahawa Kedah Tua pernah memiliki wilayah dan jajahan takluk yang luas. Hal ini dapat dilihat apabila wilayah Kedah Tua turut merangkumi Kayang (Perlis), Setul ke Kuala Bera, Pulau Pinang dan Seberang Perai (meliputi kawasan Kerian sehingga ke Kuala Kurau, Perak).

Photo by: natinalarchivessingapore
Pusat pemerintahan Kedah sering kali bertukar ganti, pada waktu yang sama pelbagai peristiwa penting telah berlaku. Peristiwa penting tersebut merangkumi hubungan politik dan perdagangan dengan kuasa luar seperti Acheh, Bugis, Portugis, Belanda, British, Burma, Siam dan Jepun serta siri pertempuran mempertahankan kedaulatan menentang pencerobohan kuasa luar. Ahli sejarah menyatakan bahawa perkembangan pengaruh Islamisasi di Kedah Tua adalah dalam bentuk hubungan perdagangan dengan pedagang dari Arab, Timur Tengah (Parsi), China atau India. Hal ini selaras dengan catatan sejarah yang membuktikan bahawa Kedah Tua pernah menjadi pelabuhan entrepot dan pusat perdagangan penting di Alam Melayu. Melalui hubungan ini, para pedagang kemudiannya menjalinkan hubungan dalam bentuk dakwah iaitu menyampaikan seruan Islam kepada sultan ataupun rakyatnya sebagai salah satu pegangan hidup. Ini diakui dan disokong oleh ahli sejarah yang terkenal seperti al- Tabari dan al- Masudi dalam catatan pelayaran mereka.
Photo by: tsemrinpoche.com (ed)
Berdasarkan kajian, dikatakan Kedah adalah negeri yang mula- mula sekali menerima Islam di rantau Semenanjung Tanah Melayu. Berpandukan kepada beberapa sumber bertulis dan penemuan hasil cari gali pihak arkeologi di Kedah, dakwah Islam telahpun sampai di negeri ini sejak abad kesepuluh lagi. Terdapat bukti yang menunjukkan Islam sampai ke Kedah Tua lebih awal daripada negeri lain, antaranya Sejarah Kedah mencatatkan seorang ulama Arab iaitu Syeikh Abdullah al-Yamani telah datang ke Kedah Tua dan mengislamkan Maharaja Derbar Raja II (kemudiannya digelar Sultan Muzaffar Shah I) pada tahun 531H (1136M). Tambahan pula, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah versi Muhammad Hassan (1968) meletakkan bahawa pada tahun 531 Hijrah (tahun 1136) sebagai tahun Raja Kedah yang pertama memeluk Islam.
Muhammad Hassan Bin Dato' Kenari Muhammad Arshad. Penulis asal Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman. (Photo by: eseminar.dbp.gov.my (ed))
Berdasarkan catatan teks tersebut juga jelas menunjukkan bahawa pengislaman Sultan Muzaffar Shah I dan penyebaran pengaruh agama Islam di Kedah dilakukan oleh Syeikh Abdullah Yamani yang berasal dari Arab Selatan. Beliau kemudiannya menjadi guru agama kepada sultan dan menetap di Kedah. Dengan berpandukan catatan ahli sejarah, bukti-bukti batu nisan yang telah dijumpai memperlihatkan bukti kewujudan alim ulama dan institusi pondok pada ketika itu. Justeru, bersandarkan penemuan bukti tersebut bahawa Kedah telah menerima agama Islam lebih awal dari negeri-negeri yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu menerusi peranan yang dimainkan sama ada pedagang, alim ulama dan ahli korporat Islam.
Photo by: usmtv@youtube.com (ed)

Nasha Rodziadi Khaw et el. 2019. Lembah Sungai Merbok-Muda: Dari Era Kemerosotan Kedah Tua Hingga Pascakemerdekaan. Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang

Muhammad Hassan. 1968. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dusuki Haji Ahmad, 1982. Ikhtisar Perkembangan Islam, c. 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama