*Oleh: Birru Aidan:)
Perkembangan pemikiran di Eropah menerusi ideologi demokrasi abad ke-18 dan sosialis abad ke-19 menjadi faktor kepada pembentukan nasionalisme di Asia Tenggara abad ke-20. Pengalaman hidup sebagai masyarakat yang dijajah oleh Eropah mendorong golongan nasionalis seperti Ho Chi Minh dari Vietnam mengambil keputusan untuk menjadi Komunis (golongan yang mendokong fahaman sosialis pada tahap lebih tinggi dan mendalam khususnya di bidang politik) pada tahun 1920. Keputusan Ho Chi Minh tersebut menyebabkannya dikenali sebagai tokoh nasionalis Vietnam yang berjuang menentang penjajahan Perancis dan Amerika Syarikat sehingga beliau digelar sebagai Bapa Komunisme Vietnam.
Sungguhpun demikian, dari segi sejarah teori, terdapat analisis yang menyatakan Perang Vietnam 1955 antara Hanoi (Utara Vietnam: mendapat bantuan senjata dari Rusia ekoran kuat pengaruh komunis) pimpinan Ho Chi Minh menentang Saigon (Selatan Vietnam: ingin menghapuskan pengaruh komunis Hanoi) disebabkan penjajahan Amerika Syarikat dapat dielakkan. Teori ini perlu dilihat sekiranya kita mengimbas kembali perkembangan yang terjadi sebelum Ho Chi Minh menjadi komunis tahun 1920.
Pengalaman Ho Chi Minh menyesuaikan dirinya dengan ideologi Amerika Syarikat menggambarkan teori bahawa, sekiranya Woodrow Wilson meluangkan masa untuk memenuhi tuntutan Ho Chi Minh di Versailles, kemungkinan Ho Chi Minh menjadi Komunis tahun 1920 adalah tipis. Dalam erti kata lain sekiranya Amerika Syarikat benar-benar mengotakan prinsip “self-determination”, beberapa teori kemungkinan boleh berlaku di masa lampau. Pertama, pengaruh komunis berkurangan di Vietnam. Ini kerana dari tahun 1920 hingga 1925 pengaruh komunis masih terhad di Vietnam. Kedua, Perang Dingin di Asia dan Eropah dapat dielakkan sekiranya Amerika Syarikat dan Rusia bersetuju pemilihan sendiri masyarakat dunia menerima ideologi pembentukan negara bangsa sendiri. Namun, kuasa besar dunia tersebut masing-masing bersaing sehingga memaksa masyarakat dunia tersepit antara blok komunis dengan bukan komunis. Amerika Syarikat sendiri tidak mengotakan prinsip self determination kerana pendekatan presiden mereka adalah berbeza-beza. Walaupun Presiden Franklin D. Roosevelt (1933-1945) menegaskan keperluan supaya Eropah menghentikan imperialisme dan penjajahan selepas Perang Dunia Kedua, Presiden berikutnya pula, Harry S. Truman (1945-1953) secara senyap-senyap selepas Perang Dunia Kedua ”menyerahkan” Vietnam semula kepada Perancis. Ia bertentangan dengan Piagam Atlantik yang menyarankan proses dekolonisasi berlaku ketika era gerakan nasionalisme menentang penjajahan sedang rancak di Asia Tenggara.
Sejarah teori sememangnya menjadi perdebatan dalam kalangan sarjana. Hal ini kerana, antara cirinya adalah tafsiran dibuat berasaskan kebergantungan analisis serta hipotesis terhadap sesuatu peristiwa. Namun demikian, pendekatan sejarah teori turut memberi idea berhubung aspek kemanusiaan yang tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat zaman lampau atau masa kini. Dalam erti kata lain, perubahan kehidupan seseorang individu pada masa hadapan dicorakkan oleh pengalaman yang diterimanya hasil motivasi, galakan, kritikan atau pengabaian masyarakat sekeliling. Oleh itu, sejarah teori berhubung pemilihan Ho Chi Minh kepada ideologi komunisme menjelaskan bahawa, sebelum pemilihan tersebut diputuskan, beliau menghadapi pengalaman diabaikan atau tidak diendahkan pemimpin dunia.
Patrick J. Hearden. 2005. The Tragedy of Vietnam. (2nd ed). New York: Pearson Longman.
Pierre Brocheux & Daniel Hamery. 2009. Indochina, an Ambiguous Colonization: 1858-1954. London: University of California Press.
Richard Ernsberger Jr. April 2019. Ho Chi Minh’s Failed Versailles Gambit. HistoryNet. https://www.historynet.com/ho-chi-minhs-failed-versailles-gambit.htm