Konsep Mitos

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Menurut pandangan sarjana Melayu seperti Ismail Hamid, mitos adalah mitologi melayu. Ia merupakan suatu bentuk penceritaan yang lebih menumpukan tentang pandangan Alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Menurut sarjana Barat pula iaitu Dick Hertoko menyatakan bahawa mitos mengatasi makna penceritaan yang mana isi kandungannya lebih padat daripada rangkaian peristiwa yang menghiburkan. Pengkaji sejarah rakyat seperti Dorson menjelaskan bahawa “a myth is being laid in ancient or prehistoric times”. Hoebel dan Frost semasa membezakan mitos dengan genre sastera rakyat yang lain mencatatkan “myth is differentiate from other genres of folklore in that it deals with sacred and semidivine beings in time when the world was different and try tell how, through the activity of such beings, things come to be as they are”.

Menurut kamus dewan, mitos merupakan cerita zaman dahulu yang dianggap benar terutamanya ia mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa dan kejadian alam. Selain itu, mitos juga merupakan cerita tentang seseorang atau sesuatu yang tidak benar atau direka-reka (dongeng). Contohnya, cerita Raja Suran dalam Sejarah Melayu dan cerita Anak Buluh Betong. Bagi masyarakat zaman silam, mereka menganggap mitos sebagai perkara yang pernah berlaku di alam maya. Ini kerana asal perkataan history dalam bahasa Latin ialah historia (penelitian) dan dalam bahasa Belanda pula disebut natuurlike historie iaitu ilmu tentang alam. Oleh itu, mereka menganggap semua perkara yang berlaku di alam maya ini adalah sejarah dan perlu dicatat agar semua peristiwa itu diketahui oleh masyarakat atau generasi akan datang.
Photo by: letterboxd.com (ed)
Bascom bertanggapan bahawa mitos itu suatu jenis prosa kisah yang bercorak tradisional yang dianggap oleh masyarakat bahawa cerita itu sebagai suatu yang benar dan pernah terjadi pada suatu ketika dahulu. Oleh itu, mitos diterima oleh anggota masyarakat dengan penuh keyakinan malah diajar mempercayainya lagi. Pendapat R. Bascom mengelompokan cerita prosa lisan menjadi tiga golongan besar iaitu mite (myth), legenda (legend) dan dogeng (folktale).

Mitos juga digelar mitologi iaitu cerita tentang kisah asal usul sama ada asal usul nama tempat, asal usul manusia dan asal usul sesuatu kejadian. Mitos biasanya berkait rapat dengan kepercayaan sesebuah masyarakat. Dari sudut agama, mitos diterapkan bagi menyampaikan idea-idea sosial dan kepercayaan melalui watak-watak dewa-dewi, tuhan, binatang serta kejadian luar biasa. Mitos mendapat sifatnya melalui keterangan daripada peristiwa yang dikatakan berlaku. Jelasnya, mitos dikatakan sebagai cerita yang dapat memberi pedoman kepada sekelompok masyarakat. Mitos turut menjadi salah satu bentuk genre yang sering kali dapat dilihat dalam penulisan sastera rakyat dan ia digunakan untuk menerangkan asal usul raja, pembukaan negeri, kedatangan agama Islam dan mengenai peristiwa aneh. Bagi masyarakat tempatan, mereka menganggap mitos sebagai sebuah cerita yang benar-benar berlaku.


Arba’iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Ismail Hamid. 1987. Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama. Selangor: Longman Malaysia.

Low Kok On. 2005. Mitos dan Legenda Kadazandusun. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


Kongsikan Bersama