Melaka: Pusat Perkembangan dan Penyebaran Agama Islam

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Melaka menjadi pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam ketika Parameswara memeluk agama Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai. Kesan pengislaman Parameswara dilihat apabila namanya ditukar kepada Megat Iskandar Syah seterusnya menjadikan pengaruh Islam bertambah kuat di Melaka. Hal ini menyebabkan wujud hubungan yang rapat dengan pedagang Pasai yang membawa kepada “profess a symphatetic interest in their religion” berdasarkan kenyataan Dr. Wake. Dengan ini, mereka saling bertukar perwakilan untuk mempelajari Islam. Kesannya, para pembesar dan rakyat Melaka menurut jejak langkah sultan dengan memeluk agama Islam sebagai tanda taat setia kepada pemerintah.

Photo by: colonialvoyage.com (ed)
Lanjutan daripada kepesatan dan kemajuan Melaka, pelabuhan Melaka selalu dibanjiri oleh pedagang-pedagang Arab dan golongan ulama yang menumpukan usaha menyebarkan Islam. Mengikut kenyataan R.O. Winstedt, rekod Jawa mencatatkan kedatangan dua orang tokoh Wali Songo iaitu Sunan Bonang dan Sunan Giri ke Melaka untuk menuntut ilmu pada akhir abad ke-15 . Hal ini kerana pendakwah Arab yang bernama Sayyid Abdul Aziz yang datang dari Jeddah , Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Johan dan sebagainya berperanan mengajar ilmu pengetahuan Islam di Melaka kepada golongan pemerintah, rakyat dan pedagang. Misalnya, Sultan Mansur Syah berguru dengan ulama Kadhi Yusuf .
Sunan Giri-Photo by: brilio.net (ed)
Galakan pemerintah turut mempercepatkan proses penyebaran agama Islam secara meluas di Melaka mahupun di seluruh Tanah Melayu . Buktinya boleh dilihat apabila Sultan Muzaffar Shah menjadikan hukum Islam sebagai asas pemerintahan baginda. Sultan Alauddin Riayat Shah telah menjemput pemerintah Inderagiri, Pahang dan Kampar datang berguru di Melaka. Sultan Mansur Syah pula menghantar ulama-ulama ke Sungai Kampar (Minangkabau Timur) untuk mengembangkan ajaran Islam serta berminat terhadap ilmu tasawuf sehingga menitahkan supaya kitab Darul Mazlum diterjemahkan kepada Bahasa Melayu .
Photo by: easytraveltransport.com (ed)

Apabila Islam bertapak di Melaka, istana sultan sinonim dimartabatkan sebagai institusi pengajian ilmu pengetahuan Islam. Istana berperanan sebagai tempat perbincangan ulama, tempat penterjemahan, penyaduran dan penyimpanan kitab-kitab agama seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah. Secara keseluruhannya, peranan istana pada zaman kegemilangan Melaka begitu besar sebagai pusat dakwah dan pengajian yang berkesan. Oleh itu, Melaka sangat terkenal dengan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam di Alam Melayu pada abad ke-15.

Armando Cortesao (eds.). 2010. The Suma Oriental of Tome Pires. England: Ashgate Publishing Limited.

Mohd Jamil Mukmin. 2004. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Yahaya bin Abu Bakar. Jurnal Sejarah Melaka. 1982. Vol.7, Bil. 8.


Kongsikan Bersama