Penawaran tempat pengajian yang terhad untuk bidang sejarah peringkat sarjana muda di universiti tempatan menggambarkan sistem pendidikan di Malaysia menggalakkan persaingan sihat berlaku dalam kalangan warganya. Dalam erti kata lain, universiti dapat menyaring, mengesan pelajar sejarah yang diterima mereka adalah memenuhi kelayakan sebagai penuntut sejarah selaras dengan kelayakan akademik pelajar semasa peringkat lepasan STPM/setaraf. Malah, kawalan dari segi penyediaan tempat kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian sejarah di universiti dilihat penting dalam melahirkan penuntut yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat. Sumbangan tersebut antaranya adalah melahirkan golongan sejarawan yang disegani seperti Khoo Kay Kim, Ramlah Adam, Adnan Nawang, Badriyah Haji Salleh, Abdullah Zakaria Ghazalie, dan tokoh -tokoh lain. Malah, penuntut sejarah perlu memainkan peranan untuk memberikan sumbangan dari segi mendorong masyarakat awam agar turut menanamkan minat atau cakna terhadap sejarah serta disiplinnya menerusi apa jua platform dan pendekatan.
Sungguhpun demikian, matlamat seperti yang dibincangkan di atas tidak akan tercapai selagi segelintir penuntut sejarah khususnya di peringkat universiti tidak mengubah kebiasaan lama yang membekukan pemikiran mereka atau masyarakat terhadap bidang sejarah. Pertama adalah amalan tiru dan salin (copy paste) tugasan sejarah daripada senior atau rakan lain. Segelintir penuntut baharu atau junior yang memasuki universiti akan mencari abang atau kakak senior bagi mendapatkan “bahan” atau tugasan-tugasan lepas. Situasi yang saya sampaikan ini adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian lepas saya sepanjang mengikuti pengajian di peringkat universiti. Hard disk digunakan untuk mengambil bahan atau hasil tugasan (assignment) daripada “arkib” senior dalam bentuk word, power point dan juga pdf. Segelintir senior pula dengan rendah diri menyatakan “ala kebanyakan assignment sejarah ni tugasan sama diulang pensyarah, tapi dalam bentuk wording atau arahan berbeza.” Kenyataan senior tersebut mengundang penuntut baharu untuk mengambil jalan mudah copy paste bahan-bahan yang berkemungkinan pemilik asalnya sudah beranak dua atau memiliki cucu. Projek akhir tahun (latihan/kajian ilmiah sejarah) juga terdapat cubaan segelintir penuntut sejarah copy paste hasil kajian senior-senior lepas, meskipun teguran dan nasihat daripada rakan terdekat telah disampaikan. Mereka terselamat sekiranya perbuatan “bawah tanah” mereka tidak dapat dikesan oleh pihak penyelia dan universiti sehingga ada yang memperoleh keputusan cemerlang dalam projek akhir tahun. Namun, tanpa disedari golangan penuntut ini telah khianat terhadap ilmu dan mampu megah berdiri dengan pekerjaan yang diperoleh sekarang tanpa keberkatan dari tuhan.
Justeru, norma baharu musim covid ini menuntut segelintir pelajar sejarah mengubah attitude tersebut. Jangan jadikan alasan tiada buku untuk dirujuk, sedangkan sebelum musim covid, perpustakaan hanya disinggah segelintir kita semasa akhir semester atau melaksanakan kajian ilmiah akhir tahun. Norma baharu ini juga menuntut pelajar sejarah mengubah attitude mereka yang seharusnya menitikberatkan keaslian dalam penulisan sesuatu tugasan atau kajian. Di dalam capaian google begitu banyak buku ilmiah dalan bentuk pdf boleh diperolehi, serta laman-laman jurnal yang membolehkan pelajar mengakses sebahagian artikel ilmiah secara percuma. Cara untuk menulis tugasan ilmiah asli atau milik kita adalah dengan cara membaca sumber-sumber buku berkaitan tugasan yang diberikan pensyarah menerusi beberapa buah rujukan. Kemudian, tulis dengan ayat sendiri tanpa menafikan fakta yang dijelaskan pengkaji dalam buku-buku yang dirujuk. Keadaan ini bakal memberi keyakinan kepada kita sebagai penuntut sejarah untuk terus membaca dan membaca buku, kemudian menulisnya dengan bahasa sendiri, itulah karya asli.
Sehubungan itu, norma baharu yang menggariskan pembelajaran hanya melibatkan atas talian adalah satu peluang kepada segelintir penuntut sejarah lebih merendah diri, lebih beradab dengan guru atau pensyarah mereka. Ini kerana tingkat ilmu yang dimiliki pensyarah mereka dalam bidang sejarah harus dihormati sama ada dalam kalangan pensyarah yang menuntut di dalam atau luar negara. Di samping itu, penuntut sejarah juga perlu malazimi tontotan forum atau kuliah bermanfaat anjuran pertubuhan-pertubuhan bukan bermotif keuntungan. Contohnya seperti forum anjuran Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia, Kuliah Buku, Warung Neo Tradisionalis, Ilmu Jalanan UPSI dan banyak lagi di laman sosial. Kurangkan menonton netflix atau hiburan yang kurang bermanfaat. Sebagai penuntut sejarah, adalah menjadi aib kepada kita sekiranya niat kita menuntut ilmu dalam bidang ini semata-mata berserah kepada tuhan berhubung apa yang bakal terjadi kepada kehidupan kita selepas menamatkan pengajian. Sebaliknya, jiwa dan raga penuntut sejarah perlu dikerahkan demi manfaat kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan lampau dan meneruskan kebaikan.