Pan-Islamisme Khalifah Uthmaniyah Tidak Selari dengan Pan-Islamisme Jamaluddin al-Afghani?

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

Oleh: Birru Aidan:)

Seringkali kuliah-kuliah agama sama ada di surau atau di masjid di Malaysia rancak dengan ceramah berkaitan sejarah perjuangan umat Islam. Salah satu topik popular dibincangkan oleh golongan penceramah adalah berkaitan pemerintahan khilafah. Kebanyakan mereka menjelaskan bahawa Sayyid Jamaluddin al-Afghani merupakan pelopor atau pengasas kepada Pan-Islamisme. Namun penulis sedikit terganggu dengan kenyataan popular mereka bahawa Afghani merupakan individu yang “menyarankan penyatuan umat Islam di bawah satu khilafah atau satu pemerintahan Islam” atau “Pan Islamisme yang dipelopori Afghani adalah demi menyatukan umat Islam di bawah payung Khalifah Uthmaniyah”. Hakikatnya, Afghani menerusi artikelnya dalam Urwathul Wuthqa (majalah kolobrasi Afghani dengan Muhammad Abduh) atau al-Raddu sekadar menyarankan Pan-Islamisme adalah menjurus kepada penyatuan umat Islam untuk meningkatkan nilai kemajuan dari aspek agama serta menolak penjajahan Barat. Malah, Afghani tidak melihat idea penyatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan sebagai keperluan utana kerana beliau kurang cenderung kepada penguasaan monarki mutlak.

Justeru, Pan-Islamisme Afghani hanya berkisarkan penyatuan umat Islam iaitu menyedarkan Muslim supaya membentuk solidariti serta merasa tanggungjawab ke arah kebajikan bersama. Ulama menurutnya perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar. Malah, ketika beliau diundang ke Istanbul oleh Sultan Abdul Hamid II pada 30 Ogos 1892, beliau mencadangkan bahawa Iran mengiktiraf Sultan sebagai khalifah (khalifah pada perspektif Afghani sekadar pengiktirafan politik dan autoriti spiritual). Manakala Sultan Turki turut mengiktiraf Shah (pemerintah Iran) sebagai pemimpin yang bebas. Dalam erti kata lain, Afghani tidak melihat single Islamic state khususnya di peringkat global sebagai satu keperluan. Pendekatan Pan-Islamisme Afghani ini bercanggah dengan harapan pemimpin Islam supaya Afghani dapat memelihara takhta atau kedudukan politik mereka. Hamka seperti yang dipetik oleh Abdul Aziz Mat Ton turut menyatakan perisik British mengesan Sultan Turki tidak menyukai idea Pan-Islamisme Afghani.

Hakikatnya, kenyataan sebahagian penceramah berhubung Pan-Islamisme adalah dibawah payung satu khilafah sebetulnya hanya menjurus kepada perspektif Sultan Turki Uthmaniyah bukan Afghani. Hal ini kerana, Sultan atau pemimpin Islam mengharapkan Pan-Islamisme adalah mengutamakan tujuan menjadikan negara Islam kukuh dalam aspek politik. Caranya adalah dengan menjadikan ulama berketurunan Arab sebagai penasihat agama Sultan. Contohnya, Sheikh Abul Huda al-Sayyadi yang terkenal dengan ajaran tarikat menjadi penasihat agama penting kepada Sultan Abdul Hamid. Pengaruh al-Sayyadi menerapkan Pan-Islamisme kepada Sultan ketika itu adalah dengan mempertahankan hak sultan sebagai khalifah. Konsep khalifah menurut al-Sayyadi adalah susur galur yang sah dari Abu Bakar sehingga kepada keturunan Turki Uthmaniyah. Konsep ini dijadikan “modal” oleh British menyuntik sentimen nasionalisme Arab dan menjatuhkan Turki Uthmaniyah. Jelasnya, Pan-Islamisme Afghani tiada kaitan mendorong umat Islam disatukan di bawah satu khalifah iaitu Uthmaniyah. Namun, hasil idea Pan-lslamisme beliau tersebut memiliki sumbangan besar kepada semangat nasionalisme masyarakat Muslim supaya mementingkan nilai kemajuan diri dan agama bagi mengatasi penguasaan kuasa Eropah.


Albert Hourani. 1983. Arabic Thought in The Liberal Age, 1798-1939. Cambridge: Cambridge University Press.

Abdul Aziz Mat Ton. 2000. Politik Al-Imam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

 


Kongsikan Bersama