Panji Semirang: Legasi Transgender Asia Tenggara?

Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Transgender merujuk kepada individu yang memiliki perasaan berhubung identiti dan jantina yang bercanggah dengan naluri semulajadinya. Sebahagian masyarakat mengaitkannya dengan singkatan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender). Asia Tenggara kaya dengan karya kesusasteraan yang menggambarkan keadaan masyarakat nusantara atau pengajaran kehidupan meskipun dalam bentuk dongeng seperti Hikayat Panji Semirang Asmarantaka.

Hikayat Panji Semirang dilihat sarjana dari sudut berbeza berdasarkan tujuan kajian masing-masing. Ada sarjana melihat Hikayat Panji Semirang penting ditinjau dari segi simbolisme golongan diraja yang memiliki keindahan paras rupa mengatasi manusia biasa. Pengaruh Hindu-Buddha dalam kebudayaan masyarakat Asia Tenggara menyebabkan Hikayat Panji Semirang turut diresapi dengan pengkisahan kedaulatan raja dari aspek spiritual. Contohnya, raja dari alam kayangan boleh mengarahkan supaya dewa-dewinya menjelmakan diri dalam bentuk manusia di muka bumi.

Terdapat sarjana yang berpandangan hikayat tersebut juga adalah manifestasi kepada masyarakat Asia Tenggara zaman lampau yang menerima konsep transgender. Panji Semirang merupakan anak kepada Ratu Daha, salah seorang putera dari kayangan (selain Ratu Kuripan dan Ratu Gagelang) yang menubuhkan petempatan manusia pertama di Jawa. Meskipun hikayat tersebut merupakan mitos kepada pengasasan kerajaan Jawa, ia menjadi asas kepada kemunculan seni batik dan kebudayaan moral masyarakat Jawa. Panji Semirang beridentiti rambut pendek dan berpakaian lelaki secara lahiriah, tetapi jantinanya adalah wanita. Perubahan watak tersebut bermula selepas Puteri Galuh Tjendera Kirana (identiti Panji Semirang yang asal iaitu wanita) melarikan diri daripada Istana Daha selepas diseksa bapanya (dipotong rambut pendek seperti lelaki). Ia disebabkan Puteri Galuh Adjeng (saudara perempuan Tjendera Kirana@ Panji Semirang; satu bapa, lain ibu) berjaya menipu daya Ratu Daha bahawa Tjendera Kirana cuba mengkhianati bapanya. Galuh Adjeng ingin memisahkan hubungan Tjendera Kirana dengan Raden Inu Kartopati (Putera Ratu Kuripan, yang turut disukai oleh Galuh Adjeng).

Tjendera Kirana memulakan kehidupan baharu dengan berpewatakan seperti putera lelaki iaitu Panji Semirang selepas berjaya menubuhkan kerajaan sendiri. Beliau memiliki pengikut atau rakyat yang ramai. Raden Inu Kartopati jatuh hati kepada Panji Semirang tatkala kedua-dua mereka turut berhadapan dalam satu pertempuran. Walaupun Raden Inu tidak menyedari jantina sebenar Panji Semirang, hikayat tersebut memaparkan bahawa Raden Inu jatuh hati dengan Panji Semirang disebabkan ketampanannya. Malah, tentera lelaki di Mentawan turut tertarik dengan Panji disebabkan “kelakiannya”. Raden Inu pula tidak boleh menumpukan perhatian dalam peperangan disebabkan ketampanan Panji. Beliau jatuh cinta kepada Panji tanpa menyedari Panji adalah wanita. Perasaan tersebut menyebabkan Raden Inu membatalkan hasrat berkahwin dengan Galuh Adjeng (saudara perempuan Panji Semirang yang berdendam dengan Panji). Justeru, penceritaan Panji Semirang menyebabkan terdapat sarjana seperti Farish A. Noor percaya bahawa gender complexity dan pluralism tidak dianggap asing dalam masyarakat Asia Tenggara.

Ringkasnya, hikayat adalah salah satu sumber berharga atau warisan sesebuah masyarakat. Golongan yang mementingkan nilai keislaman berkemungkinan memiliki perspektif bahawa fahaman yang bercanggah dengan norma Islam seharusnya diabaikan, meskipun ia diwarisi daripada hikayat. Namun, kita juga menyedari bahawa pemahaman masyarakat terhadap hikayat adalah berdasarkan perspektif masing-masing. Bersetuju atau tidak (terhadap sesuatu analisis) bukan menjadi persoalan selagi kehidupan kita tidak dipaksa untuk dipengaruhi sesuatu pandangan. Ini kerana, kehidupan yang indah adalah berdasarkan pegangan atau kepercayaan kendiri sama ada menerusi pembelajaran atau persekitaran keluarga.

Farish A. Noor. 2009. What Your Teacher Didn’t Tell You. Vol 1. Petaling Jaya: Matahari Books.
Puteh Noraihan A. Rahman & Zahir Ahmad. 2017. Hubungan Simbolisme dan Spiritualisme Dewa-Raja dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kemanusiaan. 24 (2): 123-139.
Noriah Mohamed. 1992. Hikayat Panji Semirang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Panji Semirang Movie (lakonan Saadiah Aziz Jaffar dan S Kadarisman: https://www.youtube.com/watch?v=Kspj7-Oqn5E


Kongsikan Bersama