Parameswara: Watak Sahih Pengasasan Melaka

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Institusi Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara atau disebut sebagai Sultan Seri Iskandar Shah dalam Sejarah Melayu yang melarikan diri dari Palembang pada awal kurun kelima belas. Baru-baru ini, penyelidikan sejarawan tempatan mendapati bahawa Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan pada tahun 1262 M. Hal ini dapat dibuktikan dengan pengiraan balik tarikh berdasarkan kronologi pemerintahan raja-raja Melaka mengikut kalendar Islam. Walau bagaimanapun, tarikh tepat penubuhan kerajaan Melaka tidak dinyatakan dengan pasti sehingga kini disebabkan tiada sebarang dokumen atau penyataan bertulis yang sahih ditemui.

Photo by: tumblr.com (ed)
Sehubungan itu, Parameswara masih kekal menjadi “watak sahih” kepada pengasasan Kesultanan Melayu Melaka. Menurut Suma Oriental, sebenarnya Parameswara merupakan putera kepada Raja Sam Agi yang memerintah Srivijaya dan merupakan menantu kepada Raja Majapahit iaitu Hayam Wuruk. Selain itu, menurut sumber Portugis dan China nama Parameswara dicatatkan sebagai Pai-li-mi-sula sewaktu memerintah Srivijaya. Sewaktu kemangkatan Hayam Wuruk pada 1389 Masihi telah berlakunya persengketaan antara Parameswara dan waris-waris Hayam Wuruk. Namun, Parameswara telah gagal dalam persengketaan mendapatkan takhta kerajaan Majapahit. Keadaan ini menyebabkan Parameswara dan pengikut setianya terpaksa melarikan diri ke Temasik (kini dikenali sebagai Singapura) bagi mengelakkan ancaman daripada pihak musuhnya. Temasik pada masa itu adalah di bawah naungan Siam. Kedudukan Temasik yang strategik menjadikan Parameswara ingin menaklukinya.
Photo by: addgrainonearth.com (ed)
Parameswara telah membunuh Temagi dengan niat untuk merampas kuasa dan menjadi pemerintah Temasik selama tiga tahun. Hal ini terbukti melalui seorang penulis berbangsa Portugis bernama Diogo de Cauto yang menceritakan dalam penulisannya bahawa sebelum pemerintah Raja Singapura yang terakhir ialah Raja Melaka yang pertama yang berketurunan dari Palembang. Demi menuntut bela akibat daripada pembunuhan Temagi, Siam mengutuskan bala tenteranya untuk membunuh Parameswara. Parameswara bersama pengikutnya terpaksa melarikan diri daripada ancaman Siam ke Muar dan menetap seketika. Namun, Parameswara beranggapan bahawa tempat tersebut tidak sesuai untuk mendirikan penempatan baru serta bimbang tentera Siam mungkin menyerang mereka disebabkan Temasik sangat berdekatan dengan tempat tersebut.
Photo by: biem.co (ed)
Parameswara akhirnya telah tiba di sebuah perkampungan nelayan yang didiami oleh orang Melayu, orang Laut dan orang Asli. Terdapat beberapa mitos mengenai bagaimana Melaka mendapat namanya. Pada suatu hari ketika Parameswara berehat di bawah sepohon pokok sambil melihat seekor pelanduk putih menendang seekor anjing sehingga terjatuh ke dalam sungai. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu menamakan tempat itu sebagai “Melaka” sempena nama pokok Melaka yang disandarnya. Parameswara dan pemerintah seterusnya membina Melaka sebagai sebuah empayar yang kuat selama 249 tahun iaitu dari tahun 1262 hingga tahun 1511. Kedatangan Parameswara ke Melaka yang membuka dan mengasas Melaka menyebabkan Melaka menjadi lebih maju dan mahsyur dalam perkembangan sejarah di kawasan Nusantara.
Photo by: spiceislandsblog.com

Haji Buyong bin Aidil. 1973. Sejarah Melaka dalam Zaman Kerajaan Melayu (Edisi pertama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Samsudin. 2017. Kegemilangan Maritim Kesultanan Melayu Melaka (eds.). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


Kongsikan Bersama