Pemikiran John Locke Terhadap Pendidikan

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Perkembangan pemikiran falsafah berkait rapat dengan konteks pendidikan. Hal ini kerana, falsafah merupakan pembentukan satu gagasan daripada aktiviti pemikiran, proses pemikiran dan bentuk pemikiran yang terhasil dari rasa kecintaan terhadap kebijaksanaan. Pendidikan pula dapat diterjemahkan sebagai satu keperluan hidup, satu fungsi sosial, satu proses bimbingan dan pemangkin pertumbuhan yang menjadi pelengkap kepada disiplin kehidupan.

Photo via: bayusetyawan09.wordpress.com
Teras aliran pemikiran yang dibawa oleh John Locke adalah berpaksikan kepada aliran empirisisme. Aliran ini mengenengahkan pengalaman sebagai asas pengenalan kepada konsep pengetahuan yang paling jelas dan sempurna. John Locke berpandangan bahawa pendidikan amat penting dalam membantu perkembangan fizikal dan mental seseorang individu.
Spesifikasi utama pemikiran Locke terhadap pendidikan adalah menekankan aspek kebajikan (virtue), hikmah (wisdom) dan tingkah laku yang baik (good manners). Berdasarkan karya penulisan beliau iaitu Some Thoughts Concerning Education, Locke menegaskan bahawa aspek pendidikan dilihat sebagai satu transformasi penting kepada kanak-kanak. Beliau turut menggesa ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka bagi membentuk karakter dan cara berfikir kanak-kanak sebagai strategi pembelajaran.
Photo via: bl.uk
Selain itu, ideologi pemikiran Locke terhadap pendidikan turut dibincangkan oleh sarjana seperti Ruth Grant dan Nathan Tarcov berhubung karya Lock iaitu Of the Conduct of the Understanding. Menerusi karyanya ini, aliran pemikiran yang diketengahkan oleh Locke adalah tertumpu kepada kehidupan manusia itu sendiri. Beliau berpandangan bahawa manusia memerlukan kebebasan dalam kehidupan, namun beliau turut memberi penekanan kepada aspek moraliti.
Photo via: parenting.com
Secara keseluruhannya, perspektif pendidikan yang diperjuangkan oleh Locke terbahagi kepada dua iaitu aliran pendidikan yang berfokus kepada kanak-kanak (peringkat pemikiran-Thoughts). Ia ekoran fasa kanak-kanak merupakan fasa awal yang penting dalam kehidupan seseorang individu. Sehubungan itu, pemantauan ibu bapa terhadap perkembangan kanak-kanak dianggap penting oleh Locke. Contohnya Locke menitikberatkan keperluan pemantauan ibu bapa terhadap pembelajaran bahasa anak-anak melalui perbualan sebelum memperbetulkan tatabahasanya. Seterusnya adalah pendidikan diri yang berfokus kepada golongan dewasa (peringkat tindakan, panduan dan kawalan-Conduct). Pendidikan diri ini merangkumi aspek-aspek berikut iaitu “…justice as respect for the rights of others, civility, liberality, humanity, self-denial, industry, thrift, courage, truthfulness and willingness to question prejudice, authority and the biases of one’s self interest”.
Photo via: parhlo.com
Oleh yang demikian, aliran pemikiran yang dipelopori oleh Locke dalam konteks pendidikan memberi kesan di peringkat global menerusi perkembangan nasionalisme atau gerakan kemanusiaan. Hal ini berikutan aliran pemikirannya turut berkait dengan kebenaran dan membawa kebaikan kepada peradaban dunia.


Ninian Smart. 2008. Falsafah Dunia. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

John Dewey. 1966. Democracy and Education. New York: The Free Press.

K. Bertens. 1976. Ringkasan Sejarah Filsafat. Yogyakarta: Penerbit Kanisus (Anggota IKAPI).

Ruth Grant & Nathan Tarcov. 1996. John Locke, Some Thoughts Concerning Education and The Conduct of the Understanding. Indianapolis: Hackett Publishing Co.


Kongsikan Bersama