Perhubungan Luar Thailand Selepas Perang Dunia Kedua

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Intan:)

Thailand merupakan satu daripada negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh sebarang kuasa barat. Sejak abad ke-16, Thailand mula menjalinkan hubungan dengan kuasa barat. Hal ini bertujuan mempertahankan kedaulatan negaranya. Pada abad ke-20 pula memperlihatkan penglibatan Thailand dalam perhubungan luar negaranya secara jelas bagi menjamin pembangunan dan kestabilan politiknya.

Photo by: wired.com (ed)
Pertubuhan pertama selepas Perang Dunia Kedua yang disertai oleh Thailand ialah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB). Thailand telah menganggotai pertubuhan tersebut sejak tahun 1946. PBB telah memberikan penghormatan kepada Thailand iaitu menjadikan Thailand sebagai pejabat PBB di Asia Tenggara. Selain itu, Thailand juga telah menerima bantuan daripada Rancangan Columbo iaitu bantuan kewangan yang dapat memajukan bidang pertanian, industri dan kesihatan. Isu kemboja yang berlaku sekitar tahun 1990 merupakan satu daripada sumbangan yang terbesar Thailand. Hal ini kerana Thailand telah berusaha mencari penyelesaian dengan mengemukakan cadangan agar menyekat kemasukan tentera asing, permusuhan diberhentikan dan memberikan hak kebebasan kepada rakyat Kemboja untuk menentukan nasib sendiri melalui resolusi Perhimpunan Agung. Perkembangan ini menjelaskan Thailand tidak mensia-siakan peluang menjadi antara peserta yang aktif dalam PBB.
Photo by: thecoldwaryearsstewart.weebly.com (ed)
Thailand turut terlibat dalam pertubuhan South East Asia Treaty Organization (SEATO). SEATO ialah sebuah negara organisasi pertahanan secara kolektif di Asia Tenggara yang ditandatangani di Manila pada 8 September 1954. Tujuan Thailand menganggotai SEATO adalah demi melindungi negarannya yang bersempadan dengan kawasan yang bergolak di Indonesia ekoran dipengaruhi oleh kegiatan komunis. Thailand memanfaatkan kepentingan yang diberikan SEATO terutamanya dalam bidang kewangan dan ketenteraan. Dari segi kewangan, Thailand telah menerima bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat melalui Perjanjian Tabung Pembangunan pada tahun 1958. Dari aspek ketenteraan pula, peranan Thailand dalam SEATO jelas dilihat menerusi bantuan ketenteraan yang diberikannya kepada Amerika Syarikat untuk memerangi komunis di Indonesia. Oleh itu, penglibatan Thailand dalam pertubuhan SEATO dapat mengukuhkan kedudukannya dengan negara-negara luar.
Photo by: facebook.com (ed)

Seterusnya, Thailand telah menyertai Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) pada 8 Ogos 1967 selepas Deklarasi Bangkok. Melalui penubuhan ASEAN, konsep Zon of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) iaitu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali telah ditubuhkan menerusi pembentukan Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971. Semua negara ASEAN termasuk Thailand telah menandatangani deklarasi ini. Thailand turut terlibat dalam penubuhan Kawasan Perdagagan Bebas ASEAN @ ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang dilancarkan pada tahun 1993. AFTA menjadikan kawasan seluruh ASEAN sebagai pasaran yang luas. Thailand turut menjadi negara tuan rumah semasa persidangan kemuncak ASEAN pada tahun 1995. Pada tahun sama tertubuhnya perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara atau dikenali sebagai Perjanjian Bangkok. Justeru, penglibatan Thailand dalam PBB, SEATO dan ASEAN menunjukkan Thailand merupakan negara yang mementingkan isu-isu serantau dan global.


Lee Yoong Yoong. 2011. ASEAN Matters Reftecting on the Association of South East Asian Nations. Singapore: World Scientific Publishing CO.Pte.Lid

Williams, Geoffrey L. 1977. The Permanent Alliance the European-American Partnership, 1945-1984. Leyden: A.W. Sijthoff.


Kongsikan Bersama