Persamaan Undang-undang Pahang & Hukum Kanun Melaka Tentang Kedaulatan Raja

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Kedaulatan merupakan aspek utama yang mencorakkan prinsip perlembagaan sesebuah kerajaan atau negeri. Kedaulatan juga memberikan legitimasi kepada pembentukan sebuah kerajaan atau negara. Menurut takrifan L.B. Curzon, kedaulatan adalah konsep politik dan perundangan berkaitan dengan kekuasaan tertinggi dalam sesebuah negeri. Prinsip perlembagaan sesebuah negeri merangkumi sistem politik dan undang-undang yang dibentuk oleh konsep kedaulatan yang dijunjung. Kedaulatan juga ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan yang melaksanakan kawalan pentadbiran (administrative control) ke atas sesebuah negara dan tidak tunduk kepada lain-lain kerajaan dalam negaranya. Menurut Wan Ahmad Fauzi, kerangka konsep kedaulatan itu terdiri daripada sumber kedaulatan dan ciri-ciri kedaulatan. Menurut sejarah pula, Hukum Kanun Melaka merupakan perlembagaan Tanah Melayu kerana dikuatkuasakan oleh Kesultanan Melayu Melaka seawal tahun 1424.

Photo by: khazanahfathaniyah@facebook.com (ed)
Mukadimah Undang-undang Pahang menyatakan bahawa sistem kerajaan Kesultanan Pahang adalah untuk “menjaga manfaat terhadap negeri agar sultan-sultan boleh memelihara segala rakyat dan pada saat yang bersamaan, sultan-sultan mengadakan pembesar untuk menggantikan baginda dan tidak menyulitkan baginda”. Sultan merupakan puncak kuasa bagi sesebuah kerajaan yang dibantu oleh pembesar-pembesar seperti bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar. Peranan pembesar-pembesar ini sangat penting terutamanya bagi melicinkan lagi pentadbiran dan pemerintahan kerajaan.
Photo by: yusofmarsidin16@koleksitionggalerikistarp (ed)
Perkara ini dapat kita lihat dalam Undang-undang Pahang yang turut memperincikan perbuatan yang dilarang dalam sistem kerajaan. Antaranya termasuklah sikap tidak menghormati institusi raja. Baginda perlu dihormati kerana kedudukannya dianggap “suci”. Menurut undang-undang tersebut, sebarang penggunaan Hulu Keris Merumbai dan perlengkapan berwarna kuning adalah tidak dibenarkan bagi rakyat biasa. Selain itu, terdapat beberapa perkataan yang tidak boleh digunakan oleh rakyat iaitu titah, patik, murka, kurnia, dan anugerah kerana perkataan tersebut hanya untuk kegunaan Sultan sahaja. Selain Undang-undang Pahang, Hukum Kanun Melaka juga turut menyatakan hukum bahasa raja ini. Isu ini dapat kita lihat dalam fasal pertama, fasal kedua dan fasal ketiga. Sebagai contoh, fasal kedua iaitu peraturan bahasa raja dan adat menyembah raja.
Photo by: gomelaka.my (ed)

“Fasal yang kedua pada menyatakan hukum bahawa segala raja-raja itu, lima perkara yang tiada beroleh kita menurut kata itu melainkan Raja yang kerajaan juga, pertama-tama titah, kedua patek, ketiga murka, keempat kurnia, kelima anugerah.” Bahasa raja ini merupakan antara simbol kedaulatan bagi seorang raja. Pada waktu tersebut, mana-mana rakyat biasa yang menggunakan perkataan tersebut boleh dikenakan hukuman bunuh. Pada masa kini, bahasa raja masih lagi diguna pakai di istana namun hukuman tidak akan dikenakan kepada golongan rakyat yang menyebut atau menggunakan bahasa raja. Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak juga turut memperuntukkan fasal tentang kedaulatan raja yang dapat dilihat pada fasal 24 iaitu undang-undang orang mengadap raja. Jelasnya, undang-undang adat ini merupakan satu elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kedaulatan seseorang raja pada suatu masa dahulu.


Wan Ahmad Fauzi Wan Husain et el. 2018. Konsep Kedaulatan dalam Hukum Kanun Melaka. Jurnal Undang-undang dan Masyarakat. 22: 61-73.

R.O Winstedt. 1969. A History of Classical Malay Literature. London: Oxford University Press.


Kongsikan Bersama