*Oleh: Ezafel Hakimi:)
Politik pembangunan dapat diterjemahkan melalui projek pembangunan yang memberi faedah tersirat kepada rakyat antaranya ialah meningkatkan pendapatan rakyat, menambahkan peluang pekerjaan, menambahkan peluang perniagaan, menaikkan taraf ekonomi rakyat dan juga pelbagai lagi faedah yang bakal diterima oleh rakyat sekiranya pembangunan berada di kawasan mereka. Politik pembangunan dilihat sebagai instrumen yang penting dalam kemajuan sosioekonomi sesuatu kawasan, terutamanya di kawasan yang masih belum membangun di pedalaman. Dalam bahasa mudahnya, pelaksanaan politik pembangunan memberi faedah menerusi impak pembangunan dalam bentuk laba dan keuntungan sokongan politik terutama kepada parti pemerintah. Oleh itu, epistemologi politik pembangunan era Barisan Nasional telah dikaitkan dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi merealisasikan dan membantu meningkatkan taraf masyarakat Melayu.
Epistemologi pembangunan pada era Barisan Nasional dapat dibuktikan semenjak rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969. Barisan Nasional yang didominasi oleh United Malay National Organization (UMNO) cuba memperbaiki kedudukan sosioekonomi dan pelajaran masyarakat Bumiputera dengan memulakan polisi DEB. Dasar ini diwujudkan akibat daripada rusuhan kaum yang berlaku bagi menyeragamkan sektor ekonomi di antara kaum. MARA telah menjadi salah satu subjek dasar kepada DEB yang diinterprestasikan oleh Barisan Nasional sebagai strategi politik demi memperbaiki kemunduran orang Melayu dan menjadi alternatif penyelesaian kepada masalah kepincangan antara kaum. Kewujudan DEB digerakkan oleh kepimpinan politik UMNO yang menerajui pemerintahan Malaysia menerusi permuafakatan Barisan Nasional untuk mengatasi kekalutan sosioekonomi dan politik, khususnya bagi kepentingan orang Melayu. Ringkasnya, usaha-usaha Barisan Nasional untuk kekal menjadi parti politik utama Malaysia pada tahun 1970-an dapat dilihat daripada manifestasi politik pembangunan yang cuba direalisasikan oleh parti tersebut.
D.E.M. Fiennes. 1957. Federation of Malaya: Report on the Rural and Industrial Development Authority (1950-1955). Singapore: National University of Singapore.
MY Ngah. 2004. Sejarah Penubuhan MARA. Universiti Malaya.
Liliy Zuibaidah Rahim. 2004. Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Bahasa Melayu.