*Oleh: Birru Aidan:)
Golongan harem diraja atau dikenali sebagai Nang Harm merupakan institusi sosial yang menyumbang ke arah kedaulatan Siam sekitar abad ke-19. Institusi ini disertai oleh saudara mara perempuan raja Siam, isteri-isteri raja, para gundik yang mana kegiatan harian mereka tertumpu di sekitar istana utama. Golongan harem diraja di Siam memperlihatkan peranan tersendiri ke arah penyatuan Siam, secara tidak langsung meningkatkan kewibawaan Raja Siam seperti Raja Mongkut. Golongan tersebut diberi kuasa untuk menentukan sebarang keputusan dalam negeri di bawah wilayah Siam yang mereka duduki.
Persaingan sesama golongan Nang Harm ini juga tidak menggambarkan kesemua mereka memperoleh keistimewaan atau layanan yang sama. Ini kerana terdapat golongan Nang Harm yang mengandungkan anak Raja Siam akan menjalani “sesuatu hukuman” yang menyebabkan mereka tidak lagi mampu untuk mengandung. Malah, terdapat Nang Harm yang memasuki institusi tersebut atas faktor paksaan oleh sebahagian keluarga yang berpengaruh di Siam. Tindakan tersebut dibuat supaya keluarga berpengaruh tersebut mendapat manfaat politik apabila anak perempuan mereka memiliki hubungan yang rapat dengan Raja Siam. Justeru, kehidupan sebagai Nang Harm hanya indah bagi wanita atau harem yang berasal dari keturunan kerabat diraja atau berhasil meningkatkan kedudukannya menerusi pendekatannya dengan Raja Siam. Namun, kehidupan Nang Harm boleh dianggap sebagai kehidupan yang “gundah gelana” khususnya wanita daripada golongan hamba atau yang terpaksa merelakan dirinya menjadi “mangsa kepentingan politik” keluarga-keluarga berpengaruh di Siam.
Leonowens, A. H. 1991. The Romance of the Harem (ed). Charlottesville: The University Press of Virginia.
Susan Morgan. 2008. Bombay Anna: The Real Story and Remarkable Adventures of the King and I Governess. California: University of California Press.