Sejarawan Barat Zaman Klasik & Pertengahan

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Sejarawan adalah seseorang yang mempunyai keperibadian daripada pengaruh keilmuannya dalam bidang sejarah, arif tentang sejarah, taksub terhadap sejarah (historical-mindedness), berani dan jujur memberi sumbangan terhadap penghasilan karya sejarah. Sejarawan barat boleh dibahagikan mengikut zaman-zaman tertentu iaitu Zaman Klasik, Zaman Pertengahan, Zaman Kesedaran dan Zaman Moden. Terdapat perbezaan idea, tema, pendapat dalam karya pensejarahan mengikut zaman tertentu.

Photo by: jornal.usp.br (ed)
Pada Zaman Klasik, pensejarahan dipelopori oleh Herodotus dan Thucydides. Herodotus lebih dikenali sebagai Bapa Sejarah kerana karya beliau dianggap satu karya pensejarahan. Walaupun Hecateus pernah mengemukakan penulisan sebelum Herodotus, para pengkaji cenderung memilih Herodotus sebagai Bapa Sejarah. Hal ini kerana karya Herodotus adalah lebih menuju kepada bentuk pensejarahan sedangkan karya Hecateus adalah terlalu umum. Bukan itu sahaja, menurut R.G. Collingwood, karya Herodotus mengandungi sekurang-kurangnya tiga daripada empat ciri pensejarahan moden seperti bersifat saintifik, menceritakan tentang manusia tanpa menerapkan unsur mitos dan membantu menambah ilmu pengetahuan masyarakat. Herodotus berjaya menghasilkan karya Histories tentang Perang Parsi. Daripada karya inilah perkataan “history” diambil dan dipakai sehingga hari ini.
Seorang lagi ialah Thucydides yang mengikuti jejak langkah Herodotus dalam menghasilkan karya tentang Perang Pelopenesia. Beliau bersikap lebih kritis daripada Herodotus kerana tidak memuatkan kepercayaan karut berdasarkan takdir seseorang dalam karya pensejarahannya. Sebagai contohnya, Thucydides menolak wabak penyakit pus yang terjadi akibat ketakdiran Tuhan dan mengaitkan peristiwa sejarah dengan sebab-musabab rasional yang bersifat sekular. Malah, beliau menggunakan kaedah perbandingan sumber-sumber yang didapatinya bagi memastikan kesahihan sumber tersebut.
Photo by: theloo.ru (ed)

Pada Zaman Pertengahan atau lebih dikenali sebagai Zaman Gelap, masyarakat Eropah telah dikongkong oleh golongan gereja dan ia menjadikan masyarakat lebih mempercayai sesuatu perkara tanpa usul periksa. Pada masa itu, karya pensejarahan dihasilkan oleh paderi Kristian iaitu St. Augustine atau Aurelius Augustine. Beliau menghasilkan sebuah karya iaitu City of God pada tahun 413-426 SM. Tujuan karya ini dihasilkan adalah untuk mempertahankan agama Kristian daripada cabaran golongan Pagan yang mendakwa punca keruntuhan empayar Rom disebabkan oleh kemunculan agama Kristian. Menerusi karyanya, beliau berjaya mengubah persepsi masyarakat dengan mengkritik institusi kerajaan Rom agar dijalankan secara adil dan saksama dengan mengabdikan diri kepada Tuhan serta mempengaruhi pemikiran ramai sejarawan seperti Eusibius Pamphilus dan Paulus Orosius. Dari aspek penyelidikan pula, St. Augustine banyak mengembara dan dipengaruhi oleh tokoh atau karya penulisan terdahulu seperti The Confession untuk dijadikan sumber dalam karyanya. Karya pensejarahan lebih berkualiti berbanding Zaman Klasik walaupun karya tersebut lebih menerapkan falsafah agama atau teologi.


Arba’iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama