Stratifikasi Sosial

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Maksud stratifikasi berasal dari perkataan latin iaitu stratum atau strata yang membawa erti lapisan. Menurut Max Weber, stratifikasi sosial adalah golongan masyarakat yang termaktub dalam suatu sistem sosial tertentu ke dalam sesebuah lapisan hierarki menurut dimensi kekuasaan, hak istimewa dan prestij. Soerjono Soekanto pula berpandangan stratifikasi sosial membawa maksud perbezaan penduduk atau masyarakat ke dalam kelas-kelas secara bertingkat atau sistem berlapis-lapis dalam masyarakat. Jelasnya, stratifikasi sosial merujuk kepada perbezaan warga masyarakat ke dalam sesebuah lapisan masyarakat, sama ada secara hierarki atau bertingkat.

Photo by: dialectical-delinquents.com (ed)
Istilah masyarakat pula merujuk “satu penyatuan antara anggota yang mempunyai tabiat dan adat yang sama, hidup dibawah kawalan satu sistem undang undang yang sama dan turut berkongsi minat yang serupa”. Malah, masyarakat turut didefinisikan sebagai satu kelompok manusia yang sentiasa berubah ciri kemasyarakatannya dengan menciptakan sendiri jalan perubahan dan melihat objektif yang hendak dicapai melalui sesuatu proses.
Photo by: gomelaka.my (ed)
Stratifikasi sosial masyarakat Melayu bermaksud satu kelompok bangsa Melayu yang terbentuk menerusi beberapa lapisan masyarakat bagi menjana sistem bermasyarakat yang lebih sistematik dan teratur. Stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu terdiri daripada dua golongan iaitu golongan memerintah dan golongan diperintah. Hubungan antara golongan pemerintah dan golongan diperintah adalah berdasarkan konsep timbal balik. Golongan pemerintah akan menyediakan keamanan dan keselamatan, manakala golongan diperintah akan memberi ketaatan dan kesetiaan kepada golongan yang memerintah. Stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisonal memperlihatkan bukan semua lapisan masyarakat terlibat dalam proses politik. Hal ini kerana, hanya golongan atasan sahaja yang memiliki hak untuk membentuk sesebuah kerajaan, melantik Sultan dan membuat keputusan untuk kebaikan institusi pemerintahan.
Photo by: papuaweb.org (ed)

Stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisional terbentuk selaras dengan asal usul kerajaan Melayu yang dipercayai bermula dengan kewujudan pentadbiran sebuah kampung dan wilayah yang kecil. Pentadbiran yang kecil tersebut memerlukan seorang ketua untuk mentadbir dan menjaga keselamatan penduduknya. Senario ini menyumbang kepada perkembangan petempatan awal dari masyarakat yang hanya diketuai oleh seorang pemimpin dengan peranan terhad kepada satu kuasa yang berwibawa terhadap pengikut dan wilayahnya. Keadaan ini seterusnya menimbulkan pemikiran kepada masyarakat yang meletakkan hierarki kedudukan sosial sebagai aset penting sehingga membentuk struktur politik piramid bagi menjustifikasikan kemunculan negeri atau negara.


Malik Bennabi. 2007. Asal Usul Masyarakat Manusia: Rangkaian Hubungan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Jomo Kwame Sundaram. 1986. Pembangunan Ekonomi Dan Kelas Sosial Di Semenanjung Malaysia. Singapore: Oxford University Press.

Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah Dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


Kongsikan Bersama