Thucydides: Dari Jeneral Tentera Menjadi Sejarawan

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Thucydides dilahirkan antara tahun 470-460 S.M di Athens. Beliau berasal daripada golongan keluarga bangsawan. Sewaktu beliau berusia sekitar 30 tahun, beliau telah menyandang jawatan sebagai strategos atau lebih dikenali sebagai jeneral dalam pasukan tentera Athens sekitar tahun 424 S.M. Perang Peloponesia baru tercetus dan beliau telah diperintahkan untuk memimpin sepasukan tentera bagi mempertahankan Amphipolis, iaitu bahagian timur laut negaranya. Namun, beliau telah gagal melaksanakan tugas tersebut yang menyebabkan beliau telah dihukum buang negeri pada tahun 424 S.M. Namun, ada sesetengah sumber yang mengatakan bahawa beliau tidak dibuang negeri sebaliknya beliau sendiri yang melarikan diri kerana malu untuk menghadapi pegawai tertingginya disebabkan kegagalan tersebut.

Photo by: earthasitis.com (ed)
Thucydides memang berimpian untuk menulis sejarah peperangan tersebut sebaik sahaja ianya meletus dan menganggap peristiwa peperangan tersebut sesuatu yang besar dan wajar diabadikan. Kekalahan pasukannya dan hukuman buang negeri memberi satu peluang keemasan kepada beliau bagi merealisasikan impiannya untuk menulis karya pensejarahan. Thucydides mendapat gelaran sebagai “Bapa Pensejarahan Teori”. Thucydides juga dianggap sebagai sejarawan politik kerana penumpuannya terhadap unsur politik. Akhirnya pada 399 S.M, beliau telah meninggal dunia di Thrace dan tidak dapat menyiapkan karyanya yang sewaktu itu hanya terhenti pada peristiwa perang tahap 411 S.M.
Photo by: brewminate.com (ed)
Rangka masa penulisan beliau merangkumi selama 20 tahun yang dianggarkan tiga perempat daripada keseluruhan jangka waktu berlangsungnya perang tersebut. Karya beliau mempunyai lapan jilid secara keseluruhannya. Jilid yang pertama ialah pendahuluan manakala tujuh jilid selanjutnya pula menceritakan tentang sejarah peperangan tersebut sehingga tahun 411 S.M. Hal ini menunjukkan kesungguhan dan idea beliau dalam menghasilkan sebuah karya pensejarahan yang sering diimpikannya. Karya dianggap sebagai sebuah karya yang gemilang dari segi penerangan mengenai sebab-sebab tercetusnya perang serta kenapa berlakunya penderitaan dan kemusnahan yang berupa tragedi dalam penulisannya.
Photo by: welt.de (ed)

Thucydides menggunakan pengaruhnya sebagai seorang jeneral tentera dalam melakukan kajian penyelidikan. Dengan ini, beliau telah menemubual pemimpin-pemimpin tertinggi Athens seperti Pericles , Cleon , dan Alcibiades untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai perang Peloponesia tersebut. Di samping itu , Thucydides juga telah menemubual rakan-rakannya yang terlibat dalam angkatan tentera Athens untuk mendapatkan keterangan mengenai strategi dan taktik peperangan Liga Delos. Beliau membuat rujukan terhadap bahan-bahan bertulis dengan merujuk kepada dokumen kerajaan, babad-babad Greek dan sastera bagi mengukuhkan lagi hujah dalam penulisannya. Sewaktu berlakunya Perang Peloponesia tersebut, Thucydides juga telah terlibat secara langsung di dalam peristiwa tersebut. Jadi , beliau sendiri telah pergi mengunjungi medan-medan pertempuran dan lebih memilih untuk mengikuti aliran Hippocrates iaitu memerhatikan sendiri fenomena-fenomena yang telah berlaku bagi mengesan sifat dan kesannya.


Arba’iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

R.G. Collingwood. 1946. The Idea Of History. Oxford: Clarendon Press.

Yusuf Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pesejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama