Tujuan Mitos & Lagenda Dalam Penulisan Sejarah Melayu Tradisional

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Mitos dan lagenda sangat penting dalam penulisan sejarah melayu tradisional kerana bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa raja serta menggambarkan keagungan raja. Secara tidak langsung, mitos dan lagenda mengesahkan hak dan kelayakan mereka sebagai pemerintah yang agung dan mendapat taat setia daripada rakyatnya. Pengarang pada zaman dahulu memasukkan unsur mitos dan lagenda dalam penulisannya untuk mewajarkan ideologi yang dipegang oleh pemerintah. Tidak hairanlah, jika unsur ini mempunyai pengertian yang penting dalam kebudayaan Melayu, lebih-lebih lagi mitos menjadi wadah perlambangan kuasa.

Photo by: asianfolktales.unescoapceiu.org (ed)
Unsur mitos dan lagenda dimuatkan dalam penulisan sejarah Melayu tradisional bertujuan untuk melakukan sindiran halus terhadap pemerintah yang zalim dan tidak bertimbang rasa. Pengarang memasukkan unsur ini untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap raja dalam bentuk halus untuk menjaga kepentingan diri mereka. Misalnya, dalam Sejarah Melayu menceritakan tentang raja Singapura yang telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib tanpa usul periksa. Akibat kezalimannya Singapura telah dilanda todak. Seorang budak telah mencadangkan batang pisang supaya dijadikan benteng untuk menggantikan betis agar dapat menyelamatkan rakyat Singapura daripada serangan tersebut, tetapi malangnya budak tersebut telah dihukum bunuh oleh raja kerana dicemburui kebijaksanaannya oleh raja. Oleh itu, kiasan dan sindiran halus ini dimasukkan agar segala mesej dapat disampaikan tanpa disedari oleh individu tertentu.
Unsur mitos dan lagenda turut dimuatkan dalam penulisan karya Melayu tradisional untuk menunjukkan kesetiaan dan kekuatan masyarakat Melayu. Dalam Sejarah Melayu, turut dimuatkan mengenai kesetiaan Hang Tuah yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Kesetiaan tersebut ditonjolkan Hang Tuah meskipun beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh sultan. Sifat-sifat tersebut ditonjolkan untuk menggambarkan nilai masyarakat pada zaman lampau. Tegasnya, hikayat turut mengaitkan unsur lagenda yang melambangkan perwatakan pahlawan Melayu yang ideal pada masa lalu.

Penulisan sejarah Melayu tradisional menggambarkan bahawa pengarang belum mempunyai kesedaran yang mendalam mengenai pengertian sejarah secara jelas dan tepat. Hal ini kerana, pengarang memasukkan unsur mitos dan lagenda bertujuan menggembirakan hati raja-raja dengan memenuhi segala perintah raja supaya jasa mereka dikenang. Disebabkan ramai sejarawan Melayu peringkat awal merupakan sejarawan istana, mereka menulis sesuatu cacatan peristiwa atas perintah raja-raja seperti terdapat dalam Hikayat Acheh. Karya tersebut membicarakan ketokohan Raja Iskandar Muda serta memberi gambaran yang berlebihan. Jelasnya, penulis istana hanya akan menulis apa yang diperintah oleh raja yang berkuasa pada masa itu.

Arba’iyah Mohd Noor. 2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Jan Knappert. 1980. Malay Myths and Legends. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books.

Ismail Hamid. 1987. Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama. Selangor: Longman Malaysia.


Kongsikan Bersama