Motif Penulisan Sejarah

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Kebanyakan karya pensejarahan ditulis untuk kepentingan pihak kedua terutamanya golongan pemerintah seperti raja dan hal ini sering terjadi pada zaman tradisi Alam Melayu. Sejarawan menulis karya-karyanya bertujuan untuk mengembirakan hati raja, mempamerkan kehebatan para pahlawan, menonjolkan kehebatan negeri dan kerajaan serta melaksanakan titah perintah raja supaya jasa dan sumbangan baginda dikenang oleh generasi akan datang. Contohnya, Tun Sri Lanang telah dititahkan supaya meperbaiki dan menyalin semula Sulalatus Salatin yang dibawa dari Goa. Walaupun Tun Sri Lanang begitu berat hati untuk membaiki Sulalatus Salatin kerana beliau mengetahui akan kemampuan dirinya yang kurang ilmu pengetahuan, namun beliau terpaksa juga melakukannya kerana takut menderhaka perintah raja.

Photo by: nationallibrarysingapore@facebook.com (ed)
Sejarawan juga turut menghasilkan karya pensejarahan bagi mencari kebenaran fakta baru dan mengubah pencanggahan fakta dalam karya terdahulu. Mereka mahu karya yang dihasilkan bebas daripada unsur mitos, dongeng dan lagenda. Oleh itu, para sejarawan telah menganalisis dan menyelidik secara kritis sebelum sesuatu perkara tersebut diterima sebagai fakta sejarah. Begitu jugalah dengan sejarawan Barat seperti Ranke telah cuba mewujudkan konsep sedemikian iaitu memuatkan sejarah yang sahih dari segi kebenarannya. Ini dilihat melalui konsep “Wei Es Eigentlich Gewesen” sebagai satu tuntutan dalam menghasilkan karya sejarah. Manakala seorang sejarawan klasik, Thucydides telah menolak sejarah yang berbentuk mitos dan lagenda yang pernah dikemukan oleh Herodotus dalam karyanya. Selain itu, beliau berhasrat untuk memaparkan kebenaran sesuatu peristiwa yang berlaku itu, agar beliau tidak melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh Herodotus.
Photo by: scihi.org

Ramai sejarawan menghasilkan karya pensejarahan atas kesedaran diri sendiri, sekali gus dapat dijadikan contoh kepada generasi akan datang supaya perkara sama tidak akan berulang lagi. Contohnya, penghasilan karya teragung Herodotus iaitu Histories pada Zaman Klasik adalah berdasarkan kesedaran beliau sendiri. Baginya pensejarahan itu adalah suatu yang timbul daripada minatnya untuk membuat penyelidikan dan penulisan itu dilaksanakannya dengan tujuan agar apa yang telah dilakukan oleh manusia tidak dilupakan oleh zuriat-zuriat yang akan datang iaitu seperti yang dinyatakan dalam mukadimah penulisannya.


Arba’iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Yusof Ibrahim & Mahayudin Haji Yahya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Ibrahim. 1994. Pensejarahan Melayu: Satu Kajian Awal 1800-1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,.

Mohd. Yusof Ibrahim. 2011. Sejarawan dan Pensejarahan Melayu: Tradisi dan Transformasi. Kuala Lumpur: Tinta Publisher.


Kongsikan Bersama