Malayan Union

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Kerajaan British telah memikirkan rancangan Malayan Union sejak Jepun menguasai Singapura pada tahun 1942. Hal ini kerana Pejabat Tanah Jajahan di London mendapati salah satu faktor kejatuhan Tanah Melayu kepada tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua ialah masalah penyelarasan yang berpunca daripada wujudnya sistem pentadbiran yang berbeza. Pada ketika itu, Tanah Melayu ditadbir di bawah tiga sistem yang berbeza, iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Kerajaan British berpendapat negeri-negeri Melayu perlu disatukan di bawah satu pentadbiran. Setelah tentera British kembali semula pada bulan September 1945, Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (British Military Administration, BMA). Pada masa yang sama, kerajaan British di London sedang menggubal perlembagaan Malayan Union untuk dilancarkan pelaksanaannya sebagai dasar baharu di Tanah Melayu bermula awal tahun 1946.

Photo by: collection.nam.ac.uk (ed)
Penubuhan Malayan Union bertujuan untuk melicinkan serta menyeragamkan corak pentadbiran di Tanah Melayu. Hal ini disebabkan oleh masalah-masalah perubahan sosial dan perbezaan politik antara kaum yang terdapat di Tanah Melayu serta kemerosotan ekonomi akibat pendudukan Jepun pada tahun 1941 hingga 1945. Oleh yang demikian, Malayan Union diperkenalkan bagi memudahkan pentadbiran British. Mengikut cadangan perlembagaan baharu itu, Tanah Melayu dijadikan sebagai sebuah Kesatuan (union) dan bukan lagi Persekutuan (federation). Hal ini bermakna, semua kuasa pemerintahan akan berpusat kepada satu pihak. Raja-raja Melayu akan kehilangan kuasa dan berperanan sebagai penasihat sahaja. Kuasa kerajaan negeri akan diambil alih oleh satu kuasa pusat.
Photo by: endofempire.asia (ed)

Sir Harold MacMicheal dihantar ke Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945 sebagai utusan khas Setiausaha Tanah Jajahan untuk mendapatkan persetujuan daripada Raja-raja Melayu terhadap rancangan Malayan Union tersebut. Beliau telah diberi kuasa untuk meninjau sama ada Raja-raja Melayu masih menjalinkan kerjasama dengan tentera Jepun. MacMicheal bergerak pantas dalam menjalankan tugas ini. Beliau menggunakan kuasa untuk mengugut Raja-raja Melayu. Jika ada raja yang didapati tidak bersetuju dengan rancangan Malayan Union, baginda akan disingkirkan dari takhta atas tuduhan bersubahat dengan tentera Jepun. Raja-raja Melayu tidak mempunyai pilihan lain, kecuali terpaksa bersetuju dengan rancangan Malayan Union. Hal ini menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati orang-orang Melayu yang seterusnya membawa kepada penentangan besar-besaran terhadap pelaksanaan Malayan Union.


Allen, James.de V. 1967. The Malayan Union. New Haven: Yale University Southeast Asia Studies.

Jaafar Onn. 2007. UMNO dan Malayan Union. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.

Roslan Zainuddin. 2003. Sejarah Malaysia. Selangor: Penerbit Fajar Bakti.

.


Kongsikan Bersama