*Oleh: Birru Aidan:)
Emilio Aguinaldo merupakan salah seorang nasionalis radikal di Filipina. Beliau pernah menuntut ilmu di Universiti St. Thomas di Manila dan bertugas sebagai pengutip cukai untuk mengelakkan diri daripada menjadi tentera kerahan Sepanyol. Aguinaldo melancarkan gerakan Katipunan di Cavite sebagai perjuangan mengalahkan Sepanyol. Gerakan Katipunan diasaskan oleh Andres Bonefacio selepas kegagalan Liga Filipina pimpinan Jose Rizal. Kematian 2 tokoh nasionalis Filipina tersebut menyebabkan Emilio Aguinaldo mengambil alih peranan mereka menerusi gerakan Katipunan. Jumlah ahli Katipunan semakin bertambah di Cavite disebabkan aura Aguinaldo menarik minat penduduk menyertai gerakan tersebut.
Pada 22 Julai 1896 Aguinaldo menganjurkan hari keramaian di Cavite sempena hari kesyukuran St. Mary Magdelere. Pegawai-pegawai keselamatan Sepanyol turut hadir untuk memantau majlis berkenaan. Emilio Aguinaldo secara profesional, menyambut tetamu khasnya dengan berhati-hati agar pihak Sepanyol tidak mengesan rancangan Katipunan oleh penduduk Cavite. Namun, aktiviti Katipunan dikesan oleh pihak Sepanyol. Gabenor Jeneral, Blanco mengarahkan siasatan dan tangkapan dilakukan terhadap individu yang menyertai gerakan ini. Pada 31 Ogos 1896, Aguinaldo menghantar mesej kepada setiap ketua di wilayah Cavite untuk sentiasa bersemangat dan terus yakin bahawa Tuhan bersama mereka demi menebus Motherland iaitu Filipina daripada Sepanyol.
Sepanyol melihat kerajaan baharu yang dibentuk Aguinaldo di Biak Na Bato rentetan perjuangan berterusannya dalam Katipunan sukar ditamatkan. Maka, Aguinaldo membuat rundingan dengan Sepanyol dan bersetuju untuk dibuang ke Hong Kong. Rundingan Biak Na Bato menetapkan bahawa pertempuran harus dihentikan. Aguinaldo dan pengikutnya akan menerima tiga juta dolar Mexico dan meninggalkan Filipina. Tindakan Aguinaldo itu dibuat selepas mengambil kira situasi kritikal yang berlaku di pihak pengikutnya yang kekurangan bekalan makanan serta terpaksa bersembunyi di kawasan pergunungan untuk tujuan keselamatan.
Aguinaldo seterusnya mengambil kesempatan membeli senjata dari pedagang China dan British, kemudian bersama-sama dengan Amerika Syarikat yang mengisyhtiharkan perang ke atas Sepanyol untuk menguasai kawasan Pasifik. 12 Jun 1898, beliau dengan berani merasmikan Filipina merdeka dan dirinya sebagai Presiden Republik Filipina pertama dalam tempoh sangat singkat sebelum Filipina dirampas pula oleh Amerika Syarikat. Ketegasan Aguinaldo menubuhkan republik serta-merta di Filipina adalah ekoran sangkaannya bahawa Amerika Syarikat akan terkedu dengan tindakan drastiknya tersebut. Ia demi membuktikan beliau serius mentadbir Filipina dengan sokongan rakyat dan menafikan hak Amerika Syarikat untuk menyambung penjajahan di Filipina daripada Sepanyol. Pihak Amerika tidak sewenang-wenangnya berlembut dengan Aguinaldo kerana Filipina diperlukan Amerika demi menjaga keselamatan dan kepentingan mereka di lautan Pasifik. Meskipun Filipina diisytiharkan merdeka 4 Julai 1946 oleh Amerika Syarikat, rakyat Filipina pula mengakui tarikh kemerdekaan mereka sebenar adalah pada 12 Jun 1898.
Onofre D. Corpus. 2002. Saga and Triumph: The Filipino Revolution Against Spain. Quezon City: University of the Philippines Press and Cavite Historical Society.
Nicholas Tarling (ed). 1992. The Cambridge History of Southeast Asia Volume Two: The Nineteenth and Twentieth Centuries. United Kingdom: Cambridge University Press.