*Oleh: Jacqueline Salomi:)
Desentralisasi didefinisikan sebagai satu proses pengurangan dan pengagihan kuasa pentadbiran, perundangan dan kewangan dari peringkat institusi kerajaan pusat kepada kerajaan negeri. Dasar desentralisasi yang diperkenalkan oleh British merujuk kepada pengagihan kuasa pusat (Persekutuan @ Negeri-negeri Melayu Bersekutu, NNMB) kepada negeri-negeri. Pemusatan kuasa yang begitu tertumpu kepada Persekutuan menyebabkan kuasa Raja-Raja Melayu semakin berkurangan. Bukan sahaja Raja-Raja Melayu, masyarakat Melayu juga turut ditindas atau kehilangan hak dalam pentadbiran. Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu tidak bebas bersuara khususnya dalam bidang pentadbiran Negeri-Negeri Melayu (NNM). Keadaan ini menyebabkan Raja-raja Melayu bangkit dengan mengkritik pentadbiran British sehingga membawa kepada pelaksanaan dasar desentralisasi.
Pengenalan desentralisasi berlaku akibat pemusatan kuasa yang begitu tertumpu di Kuala Lumpur (ibu pejabat Persekutuan). Keadaan diburukkan lagi apabila perkara-perkara penting di peringkat pentadbiran negeri harus dirujuk kepada pentadbiran pusat Persekutuan di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Menurut Sultan Idris, pembentukan Persekutuan menyebabkan baginda, Residen Perak dan MMN telah kehilangan kuasa. Malah, baginda berasa tersisih kerana pegawai-pegawai British ini semakin banyak mentadbir secara tidak langsung mengabaikan autoriti raja-raja Melayu sebagai ketua negeri. Oleh itu, Sultan Idris telah membuat bantahan terhadap kedudukan Residen Jeneral iaitu Frank Swettenham yang terlalu berkuasa di Tanah Melayu khususnya negeri Perak. Ringkasnya, desentralisasi dilihat penting oleh golongan raja-raja Melayu pada awal abad ke-20 sebagai keperluan memulihkan kembali kuasa serta memelihara kedaulatan raja di negeri masing-masing.
Amarjit Kaur. 1993. Historical Dictionary of Malaysia, Asian Historical Dictionary. London: The Scarecrow Press Inc. Metuchen, N.J.
Yeo Kim Wah. 1982. The Politics of Decentralization: Colonial Controversy in Malaya 1920-1929. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Zainal Abidin Abd Wahid, Khoo Khay Kim, Muhd Yusof Ibrahim, Nik Hassan Suhaimi & Mohd Amin Hassan. 1992. Malaysia: Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.