Isu-isu Sosial Klasik Pada Abad Ke-19

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Perkembangan bidang sains sosial berkait rapat dengan isu-isu sosial klasik antaranya termasuklah pergolakan politik, ekonomi mahupun pertembungan sosiobudaya. Misalnya, isu-isu yang berlaku di Perancis, Jerman dan England telah menyebabkan timbulnya masalah sosial seperti kemiskinan, penindasan dan penganiayaan.

Photo via: courses.lumenlearning.com
Proses kemunculan abstraksi pemikiran sosial yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Barat turut mengambil kira isu berkenaan kejatuhan institusi pemerintah yang berlaku pada zaman sosial klasik. Antaranya adalah Revolusi Perancis yang berlaku hasil daripada gabungan antara puak sosialis dan republik untuk menentang pemerintahan Raja Louise Philippe (1773-1850). Majlis Makan Malam yang diadakan di Paris merupakan satu peristiwa penting sebagai pencetus kepada revolusi ini. Hal ini kerana Guizot selaku Perdana Menteri Perancis pada ketika itu telah melarang penganjuran majlis tersebut. Ia ekoran kebimbangan Guizot terhadap kebangkitan golongan revolusioner. Kemaraan golongan revolusioner yang terdiri daripada golongan pekerja dan pelajar telah mencetuskan revolusi berbentuk perarakan di jalan-jalan raya sambil melaungkan slogan serta sepanduk-sepanduk mereka. Hal ini menyebabkan pemecatan Guizot sebagai Perdana Menteri dan Louis Philippe pula telah melarikan diri ke London. Perkara ini mendorong kepada terbentuknya kerajaan sementara iaitu republik kedua yang membawa kepada perubahan ke atas pentadbiran di Perancis. Perkembangan tersebut seterusnya telah menyingkirkan sistem beraja yang masih diamalkan sebelum ini.
Photo via: brewminate.com
Peranan golongan pemodal pada zaman sosial klasik dilihat menonjol berbanding institusi beraja selaras dengan perkembangan pesat kegiatan ekonomi menerusi Revolusi Pertanian dan Perindustrian. Realitinya, perkembangan peranan pemodal dikaitkan dengan proses transformasi ekonomi tradisional yang berasaskan pertanian kepada sistem ekonomi baru yang berasaskan industri. Penemuan enjin wap, penggunaan bahan logam, mesin percetakan, kuasa elektrik dan lain-lain membolehkan para pemodal memperdagangkan barangan dan pengeluaran ke seluruh dunia. Selain itu, para pemodal telah berjaya mempengaruhi kuasa kerajaan dan perundangan berkaitan cukai, para pekerja, dasar laissez fair dan sektor import barangan. Hal ini dapat digambarkan apabila sebahagian besar para pemodal dipengaruhi oleh aliran falsafah dan sistem ekonomi bebas yang menentang campur tangan kerajaan dalam kegiatan ekonomi.
Photo via: vichist.blogspot.com
Isu pertambahan penduduk yang tidak terkawal juga berlaku di Eropah abad ke-19 sehingga menggugat keseimbangan penduduknya. Hal ini adalah disebabkan jumlah penduduk berkembang pada kadar geometri manakala bekalan makanan pula berkembang pada kadar aritmetik. Hakikatnya, selepas Revolusi Eropah pada tahun 1848, berlaku proses urbanisasi penduduk dari kawasan kampung ke kawasan bandar. Kesannya, masalah sosial di bandar berlaku agak ketara seperti aktiviti pelacuran dan jenayah. Peningkatan taraf hidup golongan masyarakat pertengahan telah membawa kepada permintaan pelacuran yang tinggi. Dianggarkan pada tahun 1840-an, terdapat 7000 hingga 8000 orang pelacur di Kota London dan menjelang akhir abad ke-19, London mempunyai 80 000 orang pelacur. Kebanjiran penduduk akibat imigrasi dan kadar kelahiran yang tinggi di kawasan industri akhirnya membawa kepada masalah persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang seterusnya meningkatkan jumlah pengangguran. Kadar pengangguran yang tinggi akhirnya membawa kepada idea untuk memindahkan penduduk yang berlebihan ke luar Eropah terutamanya ke wilayah taklukan dan naungan Britain.

Oleh yang demikian, isu-isu sosial klasik tersebut telah mendorong ahli fikir, sejarawan pengkritik kebudayaan dan skeptik agama untuk mengemukakan aliran-aliran pemikiran yang baharu sebagai asas untuk membina tradisi ilmu yang lebih baik untuk dijadikan panduan kepada masyarakat atau generasi baharu. .


Ahmad Shukri Mohd Nain & Rosman Md. Yusoff. 2003. Konsep, Teori, Dimensi & Isu Pembangunan. Universiti Teknologi Malaysia.

George Ritzer. 1996. Classical Sociology Theory. New York: McGraw Hill Companies.

H Rene Albrecht Carrie. 1962. Europe Since 1815. New York: Harper and Row Publishers.


Kongsikan Bersama