Oleh: Birru Aidan:)
Seringkali kuliah-kuliah agama sama ada di surau atau di masjid di Malaysia rancak dengan ceramah berkaitan sejarah perjuangan umat Islam. Salah satu topik popular dibincangkan oleh golongan penceramah adalah berkaitan pemerintahan khilafah. Kebanyakan mereka menjelaskan bahawa Sayyid Jamaluddin al-Afghani merupakan pelopor atau pengasas kepada Pan-Islamisme. Namun penulis sedikit terganggu dengan kenyataan popular mereka bahawa Afghani merupakan individu yang “menyarankan penyatuan umat Islam di bawah satu khilafah atau satu pemerintahan Islam” atau “Pan Islamisme yang dipelopori Afghani adalah demi menyatukan umat Islam di bawah payung Khalifah Uthmaniyah”. Hakikatnya, Afghani menerusi artikelnya dalam Urwathul Wuthqa (majalah kolobrasi Afghani dengan Muhammad Abduh) atau al-Raddu sekadar menyarankan Pan-Islamisme adalah menjurus kepada penyatuan umat Islam untuk meningkatkan nilai kemajuan dari aspek agama serta menolak penjajahan Barat. Malah, Afghani tidak melihat idea penyatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan sebagai keperluan utana kerana beliau kurang cenderung kepada penguasaan monarki mutlak.
Hakikatnya, kenyataan sebahagian
penceramah berhubung Pan-Islamisme adalah dibawah payung satu khilafah
sebetulnya hanya menjurus kepada perspektif Sultan Turki Uthmaniyah bukan
Afghani. Hal ini kerana, Sultan atau pemimpin Islam mengharapkan Pan-Islamisme adalah
mengutamakan tujuan menjadikan negara Islam kukuh dalam aspek politik. Caranya
adalah dengan menjadikan ulama berketurunan Arab sebagai penasihat agama
Sultan. Contohnya, Sheikh Abul Huda al-Sayyadi yang terkenal dengan ajaran
tarikat menjadi penasihat agama penting kepada Sultan Abdul Hamid. Pengaruh al-Sayyadi
menerapkan Pan-Islamisme kepada Sultan ketika itu adalah dengan mempertahankan
hak sultan sebagai khalifah. Konsep khalifah menurut al-Sayyadi adalah susur
galur yang sah dari Abu Bakar sehingga kepada keturunan Turki Uthmaniyah. Konsep
ini dijadikan “modal” oleh British menyuntik sentimen nasionalisme Arab dan
menjatuhkan Turki Uthmaniyah. Jelasnya, Pan-Islamisme Afghani tiada kaitan
mendorong umat Islam disatukan di bawah satu khalifah iaitu Uthmaniyah. Namun,
hasil idea Pan-lslamisme beliau tersebut memiliki sumbangan besar kepada
semangat nasionalisme masyarakat Muslim supaya mementingkan nilai kemajuan diri
dan agama bagi mengatasi penguasaan kuasa Eropah.
Albert Hourani. 1983. Arabic
Thought in The Liberal Age, 1798-1939. Cambridge: Cambridge University
Press.
Abdul Aziz Mat Ton. 2000. Politik
Al-Imam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.