Peristiwa Tahkim: Wakil Muawiyah Menipu daya Wakil Ali??

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Peristiwa Tahkim penting dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut berlaku pada 36 Hijrah, iaitu selepas peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman Bin Affan. Intipati kepada peristiwa tersebut adalah bertujuan menyelesaikan perselisihan yang berlaku antara penyokong Muawiyah Bin Abi Sufyan dan Saidina Ali Bin Abi Talib berhubung penentuan khalifah yang sah selepas Khalifah Uthman Bin Affan. Penentuan tersebut dilakukan oleh wakil pihak Ali iaitu Abu Musa as-Syaari, manakala wakil pihak Muawiyah ialah Amru al-As. Peristiwa Tahkim berlaku lanjutan daripada perang saudara yang tidak berkesudahan iaitu Perang Siffin antara kedua-dua kumpulan tersebut selepas kematian Uthman.

Photo by: thelastdialogue.org (ed)

Cerita atau pengkisahan asal Peristiwa Tahkim seperti yang dicatatkan dalam Tarikh al-Tabari ialah berdasarkan rangkuman 3 perkara berikut;

(1) Kedua-dua wakil iaitu Amru al-As dan Abu Musa as-Syaari bersetuju untuk memecat Ali dan Muawiyah dan menyerahkan keputusan berhubung penentuan khalifah kepada umat Islam.
(2) Ketika giliran Abu Musa as-Syaari memaklumkan persetujuan mereka berdua di hadapan umat Islam, Abu Musa mengulangi kenyataan no (1), tanpa suntingan.
(3) Ketika giliran Amru al-As memaklumkan persetujuan mereka berdua di hadapan umat Islam, Amru al-As mengulangi kenyataan no (1), tetapi beliau menyuntingnya dengan kenyataan “..aku mengekalkan Muawiyah kerana dia adalah wali Uthman dan penuntut darahnya…” (dalam erti kata lain, Amru al-As bertindak melucutkan jawatan Ali sebagai khalifah dan mempertahankan Muawiyah sebagai waris yang berhak untuk jawatan khalifah)

Terdapat beberapa sarjana dalam kalangan sejarawan menyokong cerita asal ini terutama di bahagian Amru al-As memperdaya Abu Musa as- Syaari. Sejarawan tersebut ialah al-Ya’qubi dalam Tarikh al-Ya’qubi, al-Baladhuri dalam Ansab al-Ashraf dan sejarawan Barat seperti Osborn dalam Islam Under the Arabs.
Photo by: timetoast.com (ed)
Sungguhpun demikian, kebanyakan sejarawan dan golongan agamawan/ulama menolak cerita asal khususnya membabitkan kenyataan no (3). Contohnya, Al-Masudi dan Ibnu Kathir berpendirian bahawa kedua-dua wakil bersepakat mengenai perlucutan jawatan Ali dan menjadkan pelantikan khalifah sebagai urusan Syura. Manakala, S.M Imamuddin menegaskan bahawa cerita asal tersebut hanyalah rekaan sejarawan Abbasiyah untuk menfitnah kerajaan Umaiyyah. Ulama Hadis seperti Khalifah bin Hayyat dan al-Daruqutni turut tidak menyokong cerita asal ekoran keyakinan mereka bahawa kedua-dua wakil bersepakat menyerahkan urusan penentuan khalifah kepada umat Islam.
Photo by: sibtain.com (ed)

Keadaan ini menyebabkan golongan sarjana Malaysia seperti Nurazmallail Marni dan Mohd Asri Zainal Abidin bersetuju bahawa cerita asal tersebut adalah tidak sahih. Nurazmallail misalnya berpandangan golongan yang menolak cerita asal iaitu menerusi pendirian kebanyakan sejarawan adalah berdasarkan hujah serta realiti sebenar peristiwa Tahkim. Manakala, Mohd Asri menegaskan cerita asal wajar ditolak berdasarkan metodologi hadis. Ia berikutan golongan yang merekod cerita asal seperti Abu Mikhnaf dan al-Waqidi adalah pro kepada syiah serta diragui kebenaran penyampaian rekodnya.

Mohd Asri Zainul Abidin. 2012. Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah: Merungkai Kontroversi Menyingkap Realiti. Batu Caves: PTS Islamika Sdn Bhd.

Nurazmallail Marni. Peristiwa Tahkim Antara Ali dan Muawiyah (Tahun 36 H): Suatu Kajian dan Pengajaran. Jurnal Teknologi. 2003. 38(E): 75-92.


Kongsikan Bersama